UM - 9/8/10
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah melegakan banyak pihak khususnya orang Melayu di negara ini.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail (gambar) berkata, selama ini rakyat tertunggu-tunggu pendirian sebenar Pas kerana parti itu dilihat lebih mementingkan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP daripada menjaga kebajikan serta hak keistimewaan orang Melayu.
''Saya secara peribadi mengucapkan syukur kerana akhirnya Abdul Hadi mempertahankan hak dan keistimewaan yang ada pada orang Melayu.
''Sememangnya kenyataan Presiden Pas ini amat melegakan semua pihak,'' katanya di sini semalam.
Akhbar ini hari ini melaporkan kenyataan Abdul Hadi yang berpendapat hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera yang merupakan penduduk majoriti di negara ini perlu dikekalkan termasuk dasar pemberian diskaun dalam pemilikan hartanah.
Pada 26 Julai lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP, Tony Pua mencadangkan agar kerajaan memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.
Cadangannya itu mendapat sokongan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun beberapa pertubuhan Melayu menentang cadangan itu, malah Pergerakan Pemuda UMNO Selayang dan Gombak membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap Tony.
Dalam perkembangan sama Helmi berkata, usaha mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu adalah amat wajar memandangkan masih ramai di kalangan mereka yang miskin.
Tambahnya, dasar 30 peratus pencapaian orang Melayu dan bumiputera dalam pelbagai bidang di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga sehingga kini masih gagal dicapai.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan