12 Ogos 2010

Penyu belimbing Puteri Rantau Abang bantu kajian

UM - 12/08/2010 12:12pm

DUNGUN 12 Ogos - Puteri Rantau Abang, penyu belimbing yang dilepaskan ke laut 32 tahun lalu di bawah program penetasan bagi tujuan pemuliharaan, dikesan kembali buat pertama kalinya ke pantai di sini untuk bertelur baru-baru ini.

Kemunculannya memberi harapan baru terhadap masa depan spesies itu yang dikatakan gelap sekali gus membantu menyambung kajian mengenai migrasi yang pernah dilakukan 20 tahun lalu.

Petang semalam, di pantai yang sama, ia dilepaskan semula ke laut selepas dipasang peralatan peranti satelit dengan teknologi terkini.

Usaha Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang itu bertujuan mengumpulkan pelbagai maklumat saintifik mengenai laluan penjelajahan penyu itu, kawasan pemakanan dan permainannya di samping merekod suasana ekologi seperti kadar kemasinan dan suhu air.

Pelepasan semula disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau Abang, Datuk Zaa'bar Mohd Adib.

Ia menarik perhatian kalangan pelancongan dan juga penduduk tempatan yang teruja dengan usaha yang dilakukan, ketika haiwan itu diancam kepupusan.

Penyu belimbing itu yang ditetaskan pada 1978 dan dipasangkan tag oleh pihak Jabatan Perikanan kini mencapai ukuran 1.51 lebar, 1.16 meter panjang dan seberat hampir 500 kilogram.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: