6 September 2010

Amal prinsip saling menghormati

BH - 6/9/10
NAJIB menyerahkan sumbangan berupa duit raya kepada anak penduduk di kawasan Parlimen Gombak sempena Majlis Berbuka Puasa di Batu Caves, semalam.
Oleh Nazura Ngah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam menggesa rakyat mengamalkan prinsip saling hormat menghormati berdasarkan kefahaman mengenai sensitiviti kaum atau agama bagi mengelak ia dicabuli sewenang-wenangnya.

Perdana Menteri menegaskan prinsip itu penting dalam menentukan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata, persefahaman di kalangan rakyat perlu diwujudkan supaya tidak terbawa-bawa dengan sebarang perasaan keterlaluan sama ada perkauman mahupun fahaman ekstrim termasuk pemikiran jumud.

Katanya, pemikiran seumpama itu wajar dihindari kerana Allah lebih suka jika umat Islam bersikap sederhana.

Saya percaya umat Islam pun tidak ingin melakukan perkara yang boleh menyentuh perasaan kaum atau agama lain dan saya harap mereka yang mempunyai fahaman lain juga tidak seharus-nya melakukan sesuatu yang boleh menyentuh perasaan umat Islam, katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama 3,000 masyarakat kawasan Parlimen Gombak di pekarangan Kompleks Amaniah, Batu Caves, dekat sini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata, selain berusaha menguruskan pembangunan ekonomi negara, kerajaan juga perlu bertanggungjawab dalam menentu-kan hubungan kaum dapat diuruskan dengan baik.

Mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang menyampaikan tazkirah di ruang solat utama surau Al-Huda di Kajang, baru-baru ini, Perdana Menteri mengingatkan mana-mana pihak yang mahu melakukan sebarang tindakan supaya mengetahui apa yang dilakukan sama ada tindakan itu disenangi atau tidak oleh pihak lain.

Saya suka menyebut perkara ini (kes Teo) sebagai peringatan bukan mahu menghangatkan isu ini, katanya.

Sehubungan itu, Najib menggariskan panduan yang wajar dihormati oleh bukan Islam untuk mereka memasuki tempat ibadat umat Islam.

Perdana Menteri berkata, walaupun tiada dalil khusus berkenaan larangan orang bukan Islam memasuki rumah Allah, umat Islam bersumberkan al-Quran, hadis dan ijmak ulama serta keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan kali ke-90 pada 1 Mac lalu yang membincangkan hukum pelancong bukan Islam memasuki masjid dan ruang solat utama.

Beliau berkata, muzakarah memutuskan pelancong bukan Islam diharuskan memasuki tempat ibadat umat Islam dengan syarat mereka mendapat keizinan pihak pengurusan masjid, menjaga perlakuan supaya tidak mencemarkan kesucian Islam dan menutup aurat.

Mengulas lanjut, Najib berkata, tazkirah yang disampaikan oleh bukan Islam bercanggah dengan hadis yang bermaksud Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam.

Pada 1989, Ratu Elizabeth memasuki kawasan masjid negeri dengan pakaian menutup aurat dan tidak memasuki ke ruang solat utama. Oleh itu, saya berharap panduan ini dihormati oleh masyarakat bukan Islam, katanya.

Perdana Menteri kemudiannya menyampaikan bantuan kilat sebanyak RM2,000 kepada empat mangsa kebakaran, bantuan kepada 18 masjid bernilai RM18,000 dan 300 penerima bantuan terdiri daripada 142 orang miskin dan bakinya anak yatim di kawasan Parlimen Gombak.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: