8 September 2010

Bina lembaran baru di Aidilfitri

UM - 8/9/10

Bermula dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah di gereja, cubaan membina kuil di kawasan petempatan Melayu, penggunaan ruang solat utama untuk diberikan laluan kepada bukan Islam memberikan tazkirah, doa khutbah Jumaat yang dibaca meminta kesejahteraan pemimpin bukan Islam selain cacian dan penghinaan berterusan terhadap agama suci Islam melalui laman blog, facebook, semuanya adalah manifestasi betapa apabila ummah ini goyah maka musuh pasti mengambil kesempatan.

Lantas Madrasah Ramadan yang sedang dilalui dan bakal berakhir sewajarnya mampu mengajak umat ini berfikir. Apakah kepentingan politik patut menjadi wahana utama sehingga adanya kalangan umat sanggup menjual ayat-ayat Allah hanya kerana mahu mewajarkan semua tindakan menghina agama yang maha suci ini?

Apakah tidak boleh di bulan yang penuh barakah ini, umat Islam menunjukkan kesepaduan, bermuhasabah diri, menilai kembali letak duduknya bangsa ini dan mencari usaha konkrit bagi menguatkan ummah untuk terus bergerak maju, dihormati dan digeruni.

Selagi jemaah ini tidak mampu mencari titik persamaan meski pun menghadap kiblat yang satu dan menyembah Allah Yang Esa selagi itulah kejayaan tidak akan berpihak kepada umat Islam.

Isunya, penghinaan kepada bangsa dan agama Islam kian menjadi-jadi. Hak Melayu dan Islam didebat secara terbuka. Dikritik secara sinis atas semangat demokrasi dan prinsip universalisme serta kebebasan bersuara.

Tuntutan yang dibuat kian melampau dan meracau. Jika bukan kerana adanya budi Melayu yang juga merupakan masyarakat utama penganut majoriti Islam di negara ini maka sudah tentulah konflik agama dan perkauman boleh meletus. Inilah kelebihan Melayu Islam di Malaysia, cukup berhemah biarpun hak dan domain mereka kian diasak.

Malangya konsep keadilan sejagat atau universalisme yang dituntut oleh golongan berkepentingan berteraskan prinsip 'sesuatu itu adalah adil' apabila hak Melayu dan Islam dapat direbut dan dalam masa yang sama hak golongan yang cuba merebut itu terus dipertahankan. Inilah isu dasar yang tidak pernah mahu difahami oleh golongan berkepentingan ini.

Punca kepada semua usaha ke arah meraih dan merebut hak Melayu Islam ini tidak lain bermotifkan politik kuasa dan pengaruh. Bukan pun atas sifat mahukan keadilan sebenar. Malah golongan ini lebih berani tatkala melihat Melayu dan Islam di negara ini kian terpecah kepada beberapa kelompok besar atas perbezaan fahaman politik.

Lebih memburukkan keadaan dalam setiap tindakan akan ada persengkokolan puak Islam lainnya yang menyokong usaha mereka.

Semuanya kerana pakatan yang terbentuk dan dijustifikasikan pula melalui kenyataan, 'fatwa' tokoh yang dianggap Tok Guru atau ulama oleh pihak tersebut. Natijahnya Islam dan ajarannya bercelaru, dikelirukan atas pandangan berbaur sentimen politik. Pandangan yang dilontarkan atas nama 'kepentingan tertentu' bukan disokong melalui dalil syaraq yang jelas lagi hak.

Kesannya tindakan sebegini bukan sekadar telah mencampakkan umat ini ke lembah perpecahan dan taksub pada aliran puak malah yang lebih membahayakan menyebabkan bukan Islam akan memandang rendah pada kesyumulan Islam sebagai satu deen atau panduan hidup yang lengkap selain mampu mensejahterakan umat manusia.

Sepatutnya Ramadan yang sedang dilalui dan bakal berakhir dijadikan iktibar, bagaimana melalui solat fardu dan terawih secara berjemaah umat ini sebenarnya menuju kiblat yang satu. Solat berjemaah, qiamulail, amalan sedekah, zakat fitrah, bertadarus al-Quran adalah manifestasi bahawa Islam adalah agama praktikal, cukup seimbang, rasional, logikal dan tidak perlukan idea-idea songsang yang tidak punyai tasawur yang jelas dari sudut hukum hakamnya.

Maka ikutlah apa yang diajar dan disunahkan melalui ajaran kitab Allah dan saranan Rasullullah SAW. Pokok pangkalnya umat ini tidak mungkin akan keliru, bercelaru atau haru biru andai kata semua penganut Islam mampu mengikuti secara tertib, sabar dan ikhlas serta bersungguh mempraktik apa yang diajarkan Rasullullah, nabi terakhir pembawa rahmat sekalian alam.

Masalah mulai timbul apabila ada tokoh di zaman ini yang menganggap keislaman dirinya mengatasi orang lain hanya kerana dia tokoh ulung dalam parti yang berjenama Islam.

Maka proses segregasi, dikotomi berlaku, adanya pelabelan bahawa amalan orang lain kurang nilai Islamnya. Tindakan dan dasar yang dilaksanakan oleh pihak lain rendah dari sudut darjah keislaman.

Bila ditanya dan diminta untuk mengemukakan model dasar Islam dalam pelbagai bidang untuk tujuan dilaksanakan golongan yang berjenama Islam akan menjawab bahawa mereka memerlukan masa dan kajian sebelum melaksanakannya.

Walhal alasan yang diberikan tidak lebih sekadar retorik politik. Dibuat sebegitu rupa semata-mata untuk menarik perhatian masyarakat terbanyak agar menyokong parti berjenama Islam itu dan meninggalkan parti lain yang kononnya membawa fahaman sekular, assabiyah dan faham kebangsaan.

Penentuan itu didasarkan semata-mata kerana saingan politik dan usaha mendapat kuasa. Tidaklah pula didasarkan pada dalil atau nas-nas syaraq yang jelas lagi muktamad.

Hakikatnya golongan berkenaan sendiri kurang memahami apa yang dimaksudkan dengan deen Islam, maka tidak menghairankan kenapa mereka hanya bijak memberi alasan berbanding melakukan sebarang tindakan.

Implikasinya pertentangan tentang sifat Islam atau tidaknya seseorang itu terus menjadi bahan perdebatan yang merugikan ummah dalam jangka panjang. Dalam masa yang sama kekalutan yang berlaku akibat pertikaian soal siapa lebih Islam seakan-akan menjadi bahan motivasi bagi bukan Islam untuk terus memporak perandakan umat ini. Agar pada akhirnya penguasaan ekonomi, ilmu pengetahuan, sistem pentadbiran dan yang paling mutlak kuasa politik dan hak-hak Perlembagaan yang telah dijamin kepada umat Islam yang mewakili 60 peratus penduduk negara dapat direbut secara halus.

Atas nama suara majoriti dan hak berdemokrasi. Maka tidak mustahil suatu hari nanti jadilah umat Islam di negara ini senasib seperti mana di Afghanistan, Iraq, Palestin. Bilangan yang ramai tetapi tidak punyai kualiti, berpecah belah kerana aliran dan fahaman politik dan kesudahannya nasib mereka ditentukan oleh kuasa luar. Dizalimi dan diperintah oleh golongan minoriti.

Lantas Aidilfitri yang bakal menjelma wajar menjadi medan terbaik. Tujuan Islam adalah untuk menyatukan umat ini, mensejahterakan penghidupan masyarakat, memudahkan penghayatan dan amalan. Bukan mencelarukan atau mengajak kepada permusuhan yang entah sampai bila akan berkesudahan.

Tujuan Islam untuk memupuk sifat zuhud, redha, rendah diri, memelihara ukhwah sesama saudara Islam. Bukan mendabik dada, ego dan bongkak kononnya 'saya lebih Islam dari orang lain' dan 'saya dijamin syurga hanya kerana menyertai jemaah atau parti tertentu'.

Syurga atau neraka hanyalah ditentukan dengan rahmat dan ihsan Allah SWT selain ketaqwaan hamba-hambanya. Kemuliaan umat Islam tidaklah terjamin sekadar menyertai atau menjadi anggota mana-mana parti ataupun pertubuhan. Tidak tercatat walau satu pun ayat dari 6,666 ayat suci al-Quran dalil sebegitu. Sesungguhnya semua umat Islam adalah satu ummah, agama mereka juga adalah satu, menyembah Allah yang esa, mengadap kiblat yang sama, mengucap kalimah syahadah yang sama.

Lantas Aidilfitri 1431H ini wajib menjadi landasan kepada seluruh umat Islam di negara ini bergabung tenaga, padukan ukhwah, jalin eratkan perpaduan serta penyatuan untuk membuktikan bahawa umat ini sukar digoyah di saat serangan terhadap Islam dan kesuciannya kian bertambah.

Maka segeralah bermuhasabah diri, segeralah berubah, umat ini tidak rela untuk terus dihina dan dicaci.

Moga Aidilfitri menjadi bukti kemenangan kita melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan dan menjadi medan pembuktian kemenangan kepada umat Islam Malaysia untuk bersatu seluruhnya dalam satu jemaah di bawah payung Islam yang suci lagi harmoni.

SOBRI SUDIN ialah penulis bebas.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: