4 September 2010

Jangan bertolak ansur dengan pencetus api perkauman

UM - 4/9/10

KUALA LUMPUR 3 Sept. Kerajaan perlu bertegas terhadap pihak yang memanipulasi gagasan 1Malaysia untuk menghalalkan tindakan tidak beretika serta menyemarakkan api perkauman.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pelbagai tuduhan dibuat dan mengaitkan isu perkauman yang semakin panas pada masa ini sebagai berpunca daripada gagasan tersebut.

Menurutnya, terdapat juga pihak semakin berani menuntut beberapa perkara seperti menghapuskan kuota bumiputera setelah didakwa ia tidak bersesuaian dengan gagasan 1Malaysia.

Lebih teruk lagi, katanya, pihak pembangkang terutama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan pelbagai helah memburukkan gagasan itu yang dikhuatiri menarik sokongan bukan Melayu kepada kerajaan.

"Mutakhir ini gagasan 1Malaysia cuba dijadikan sebagai kambing hitam, bagi melepaskan tengkuk masing-masing atau untuk mencari alasan.

"Contohnya, Wee Meng Chee atau Namewee mengatakan dia antiperkauman dan berpegang teguh kepada 1Malaysia. Dia menjadikan gagasan itu perisai untuk melindungi dirinya yang tersepit akibat keterlanjuran video klip yang biadab itu.

"Dia tidak boleh dimaafkan dan dilepaskan begitu sahaja. Sepatutnya dia direman, didakwa secepat mungkin dan dikenakan hukuman berat seperti kes bakar gereja dan mengarak kepala lembu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam blognya, puadzarkashii.blogspot.com di bawah entri bertajuk "Namewee: Jangan jadikan 1Malaysia kambing hitam".

Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menegur MCA dan Gerakan yang semakin berani menjadikan 1Malaysia sebagai alasan untuk menuntut pelbagai perkara seperti isu kuota bumiputera dan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sementara itu, beliau juga kecewa dengan sikap pihak berkenaan yang seolah-olah seperti 'buat-buat tidak faham' dengan penjelasan demi penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai 1Malaysia.

Katanya, Najib menjelaskan bahawa gagasan itu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan yang bermakna langsung tidak timbul soal untuk menghapuskan Perkara 153 Hak Keistimewaan Orang Melayu.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: