UM - 9/9/10
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru agar semua rakyat Malaysia melupakan segala persengketaan dan memperkukuhkan jalinan perpaduan antara masyarakat majmuk sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Beliau turut mengajak semua rakyat Malaysia supaya bersama-sama meneruskan dan mengamalkan budaya sambutan perayaan secara harmoni di negara ini.
Katanya, sambutan Hari Raya Aidilfitri juga seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Wesak yang dapat menyemai semangat bersatu-padu dan berharmoni di antara masyarakat majmuk.
"Gunakanlah peluang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita dengan mengunjungi sahabat handai dan rakan taulan.
"Sambutan kali ini tentunya lebih meriah jika kita dapat berkumpul bukan sahaja dengan kaum keluarga tetapi dengan sahabat pelbagai kaum," katanya di dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, semua rakyat perlu menyemarakkan semangat 1Malaysia dengan meraikan Hari Raya Aidilfitri secara bersama-sama dalam suasana yang harmoni.
Katanya, sambutan perayaan yang dikecapi pada hari ini adalah hasil perpaduan serta toleransi yang rakyat Malaysia sendiri bina sejak sekian lama.
Muhyiddin berkata, sambutan perayaan seperti yang diamalkan oleh rakyat Malaysia juga sebenarnya dapat memastikan generasi muda pada masa depan terus menghargai kepelbagaian agama dan budaya yang sekali gus menyemai perasaan cintakan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa semua rakyat seharusnya berterima kasih kepada pihak yang menjaga keamanan dan keselamatan negara.
"Pasukan keselamatan kita menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab tanpa berehat dan bercuti bagi memastikan keselamatan negara terjamin.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan negara serta pegawai dan kakitangan awam yang lain yang bekerja demi memastikan segalanya berjalan lancar," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan