4 September 2010

Usaha basmi kemiskinan tiada kaitan dengan rasis

UM - 4/9/1o


Muhyiddin Yassin meletakkan tangan di atas bebola bagi merasmikan Program Pembasmian Miskin Tegar Dan Miskin Bandar Negeri Pahang 2010 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Maran, Pahang, semalam. Turut sama Adnan Yaakob (dua dari kiri) dan Tan Mohd. Aminuddin Ishak.

MARAN 3 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan parti pembangkang supaya tidak melabelkan usaha kerajaan membasmi kemiskinan di kalangan bumiputera sebagai isu perkauman.

Beliau turut melahirkan rasa terkilan apabila ada kalangan orang Melayu yang turut mempertikaikan usaha pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan dengan mengaitkannya sebagai rasis.

"Sebenarnya mereka (pembangkang) lebih rasis dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbau perkauman. Mereka banyak menyentuh isu-isu yang dipersetujui bersama.

"Dengan itu mereka melabelkan kerajaan sebagai rasis apabila cuba membantu kelompok miskin di kalangan bumiputera seperti dalam bidang pendidikan. Ini tidak seharusnya timbul kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum.

"Apa-apa inisiatif yang dilakukan kerajaan tidak sewajarnya dipandang serong," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan program pembasmian kemiskinan tegar dan miskin bandar peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak.

Muhyiddin menegaskan, orang Melayu tidak sewajarnya mengkhianati bangsanya sendiri yang berada dalam kemiskinan apabila mengaitkan usaha pembasmian kerajaan sebagai rasis.

"Itu yang saya tidak faham kerana tidak tahu masalah yang dihadapi kaumnya yang masih memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan.

"Jika orang Melayu mengkhianati bangsanya sendiri, ia akan diambil kesempatan oleh pihak lain dan seolah-olah mengiakan apa yang didakwa oleh pihak terbabit," tegasnya.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan akan terus menangani isu-isu perkauman yang cuba dibangkitkan oleh pihak tertentu yang semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini.

Beliau sekali lagi memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan laman-laman sosial atau blog untuk mencetuskan api perkauman supaya menghentikan perbuatan itu atau mungkin menghadapi tindakan tegas.

"Pihak berkuasa akan mengambil tindakan dan jika sabit kesalahan, hukuman berat akan dikenakan," katanya.

Kerajaan, tambahnya, tidak mahu dilihat sebagai berlembut dengan membiarkan pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebebasan demokrasi secara sewenang-wenangnya.

Ditanya mengenai Model Baru Ekonomi (MBE) Luar Bandar yang akan dilaksanakan kerajaan, Muhyiddin menjelaskan, perkara itu masih di peringkat perancangan tetapi telah dibincangkan dalam Kabinet beberapa minggu lalu.

"Unit Perancang Ekonomi (EPU) sedang meneliti bentuk yang sesuai untuk menerapkannya ke dalam MBE," katanya.

Menurut beliau, Felda mungkin dijadikan model terbaik dalam membentuk MBE Luar Bandar tetapi ia akan dilaksanakan dalam perspektif baru memandangkan tiada lagi kawasan yang boleh dimajukan sebagai tanah rancangan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: