UM - 5/10/10
| |
| Ahli-ahli Cabang PKR Bayan Baru daripada Team-Rakyat menunjukkan laporan polis yang mendakwa pemilihan cabang tersebut tidak sah kerana dijalankan secara tidak adil dan berat sebelah di Sungai Dua, Pulau Pinang, baru-baru ini. |
Insiden-insiden yang mempamerkan wajah sebenar demokrasi acuan PKR menyebabkan sekurang-kurangnya 13 daripada 204 cabang parti itu di seluruh negara terpaksa menangguhkan mesyuarat agung mereka.
Antara cabang terbabit adalah empat di Selangor (Kapar, Klang, Petaling Jaya Selatan, Kuala Langat), masing-masing tiga di Johor (Pasir Gudang, Tebrau, Kota Tinggi) dan Sarawak (Saratok, Lubuk Antu, Serian), dua di Kedah (Jerai, Merbok) dan satu di Terengganu (Kuala Nerus).
Di sebalik kekecohan yang berlaku, Naib Presiden PKR, Azmin Ali mendahului senarai pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden apabila menerima sokongan daripada 102 cabang.
Dua lagi calon yang telah mengumumkan akan bertanding iaitu Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim pula menerima 38 pencalonan manakala Pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub dengan 17 pencalonan.
Bagi mengisi empat kerusi Naib Presiden pula, seramai 27 calon telah melayakkan diri dengan empat calon yang menerima sokongan tertinggi ialah Fuziah Salleh (115 pencalonan), Shamsul Iskandar Md. Akin (45), Lee Boon Chye (35) dan Mustaffa Kamil (34).
Bagi jawatan Presiden, tiga nama turut dicalonkan walaupun masih belum ada pihak yang mengesahkan akan bertanding. Mendahului senarai ialah penyandang jawatan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (123 pencalonan); Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (15) dan Zaid (3).
Dalam tempoh tiga minggu lalu, pelbagai keputusan mengejutkan turut berlaku antaranya membabitkan kekalahan pemimpin utama PKR di peringkat cabang masing-masing.
Antara yang menerima kekalahan ialah Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Bahrin Abas; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan yang terpalit dengan skandal gambar separuh bogel, Elizabeth Wong dan Mustaffa Kamil.
Paling mengejutkan adalah kekalahan yang dialami R. Sivarasa yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Subang apabila sekadar mendapat lima undi walaupun memegang jawatan Naib Presiden PKR.
Pusingan ketiga mesyuarat yang berlangsung kelmarin dan semalam tidak kurang menariknya apabila di Cabang Bukit Gelugur, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Lim Boo Dr. Chang menewaskan ADUN Batu Uban yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR, S. Raveentharan.
Di Kelana Jaya, Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud nyaris terlepas jawatan Ketua Cabang apabila menewaskan pencabarnya, Abd. Razak Mohamed Jalil dengan kelebihan enam undi sahaja.
Sementara itu, regu beliau untuk jawatan Timbalan Ketua, iaitu ADUN Seri Setia yang juga Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hanya menang dengan kelebihan 15 undi.
Di Cabang Hulu Langat pula, ADUN Kajang, Lee Kim Sin tewas kepada Radzuan Ahmad yang mempunyai kelebihan 11 undi sahaja.
Dua pemilihan yang mencuri perhatian pada hujung minggu lalu adalah di Kuala Selangor membabitkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berjaya mempertahankan kedudukannya apabila mendapat 722 undi mengetepikan cabaran dua calon lain.
Sementara itu, Azmin pula menang mudah di Cabang Gombak dengan 324 undi menewaskan pencabarnya Bakar Ninggal yang sekadar mendapat 60 undi.
Bagaimanapun Azmin menerima tamparan apabila cabang terbesar di Selangor yang diketuai beliau iaitu Hulu Selangor mencalonkan Zaid untuk jawatan nombor dua PKR.
Di Sabak Bernam pula, insiden keganasan meletus apabila calon Timbalan Ketua Cabang, Abu Talib Bujang dan anaknya, Mohd. Fadli telah dipukul oleh sekumpulan ahli parti.
Turut menerima tempias keganasan ahli PKR ialah jurufoto Kumpulan Utusan, Mohd. Shaharani Saibi yang dikejar kira-kira lima lelaki yang cuba merampas kameranya.
PKR Cabang Johor Bahru juga tidak sunyi daripada ketegangan sehingga menyebabkan mesyuarat yang dijadualkan di sebuah dewan akhirnya berpindah ke sebuah bilik hotel membabitkan 50 ahli yang mengundi.
Perkembangan berkenaan merupakan rentetan kepada insiden keganasan yang berlangsung pada minggu lalu antaranya di Cabang Subang yang terpaksa ditangguhkan mesyuaratnya berikutan masalah teknikal manakala di Cabang Kapar berlaku provokasi antara penyokong calon yang bertindak di luar kawalan termasuk mengoyak kertas undi.
Pergaduhan besar juga berlaku di Cabang Klang apabila kotak-kotak undi dipecah manakala kerusi dibaling dan keganasan yang sama turut berlaku di Cabang Kuala Langat.
Insiden tumbuk-menumbuk juga dikatakan berlaku apabila calon Ketua Cabang Kota Raja, S. Kottapan mendakwa ditumbuk oleh penyandang jawatan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr. Xavier Jayakumar.
Insiden ketegangan dan keganasan yang berlaku menimbulkan tanda tanya adakah perkara sama bakal berulang pada pemilihan peringkat pusat yang dijadualkan bermula hujung bulan ini.
Pastinya semua pihak akan ternanti-nanti apakah alasan yang bakal dikemukakan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution: Samaada beliau akan menyalahkan anasir luar atau mengakui kelemahan ahli parti sendiri.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan