14 Oktober 2010

Ceti haram: Akta longgar punca kegagalan bertindak

Bernama - 14/10/2010 8:56pm

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Peruntukan penguatkuasaan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang longgar antara punca kerajaan gagal mengambil tindakan secara berkesan terhadap kegiatan pemberi pinjaman wang haram.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata, akta berkenaan antaranya tidak memperuntukkan kesalahan-kesalahan tertentu seperti pemasangan iklan oleh pemberi pinjam wang tidak berlesen.

"Tambahan pula, hukuman dan denda yang dikenakan di bawah akta ini juga terlalu ringan dan tidak setimpal dengan situasi serta bentuk kesalahan yang dilakukan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Pemberi Pinjam Wang (Pindaan) 2010 untuk bacaan kali kedua di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Akta 400 perlu dipinda bagi melindungi dan mencegah orang ramai daripada terperangkap dengan ceti haram atau ah long dan membolehkan perniagaan pemberi pinjam wang dipantau dan dikawal selia dengan lebih menyeluruh.

"Ia juga membolehkan penguatkuasaan yang berkesan dan sempurna dilakukan untuk membendung pemberi pinjam wang daripada mengancam keselamatan peminjam.

Pada sesi perbahasan, beberapa Ahli Parlimen mahu hukuman lebih berat termasuk hukuman mandatori kepada pemberi pinjam wang berlesen atau tidak berlesen yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: