16 Oktober 2010

'Kerajaan bukan saudagar mimpi'

BH - 2010/10/16

Kejayaan hasil perancangan rapi: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pimpinannya bukan saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan, sebaliknya perancangan dan kejayaan yang dicapai adalah hasil perencanaan yang jelas, tegas dan rapi serta memerlukan pengorbanan yang tinggi.

“Kerajaan tidak akan mengambil jalan mudah dengan menggadaikan kepentingan negara jangka panjang demi populariti jangka pendek. Yakinlah, kita tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi akan datang,” katanya.

Sambil mengajak rakyat insaf bahawa masa depan mereka dan anak terlalu bernilai dan mahal harganya untuk diserahkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab, Perdana Menteri berkata, Barisan Nasional (BN) adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata untuk meneruskan tradisi murni membawa kemakmuran ke seluruh negara.

“Apa yang kita capai bukanlah secara tidak sengaja... ibarat bulan jatuh ke riba, tetapi hasil perencanaan yang jelas, ketegasan pelaksanaan, perancangan yang rapi serta pengorbanan yang tinggi.

“Wawasan saya dan rakan dalam Kabinet adalah untuk meneruskan tradisi murni membawa kemakmuran ke seluruh pelusuk dan ceruk negara. Wawasan ini bukanlah sesuatu yang mustahil... bukanlah pula satu impian kosong. Fakta dan sejarah membuktikan kerajaan BN berupaya melakukannya selama puluhan tahun,” katanya.

Berucap membentangkan Bajet 2011 di Bangunan Parlimen semalam, Najib berkata, perancangan dan pelaksanaan adalah visi bagi memenuhi aspirasi dan impian rakyat untuk membina sebuah Malaysia yang mana setiap orang mampu mencipta kebahagiaan.

“Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana yang mengehadkan kejayaan hanyalah sejauh mana kesanggupan seseorang itu berusaha dan bekerja keras. Bajet ini mengambil kira keperluan semua rakyat. Pembentangannya dimungkinkan oleh pengurusan kewangan negara yang cekap dan berhemat selama ini.

“Kita berjaya mentransfomasikan ekonomi Malaysia dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Meningkatkan perkapita daripada AS$260 pada awal merdeka kepada kira-kira AS$8,000 hari ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, negara juga berjaya mengurangkan kemiskinan daripada 60 peratus kepada 3.8 peratus sehingga berada pada ambang menghapuskan kemiskinan tegar dan berjaya mencipta kelas menengah yang dinamik, manakala hakikat pengurusan kewangan berhemat menyaksikan Malaysia keluar daripada krisis kewangan 1997/1998 dengan jayanya.

“Di kala tsunami ekonomi pada 2008, sekali lagi rakyat diselamatkan daripada terjebak dalam situasi yang membebankan. Pendek kata, apa pun cabaran mendatang, kita tidak akan sekali-kali berundur daripada misi mulia ini atas keyakinan bahawa kebenaran berpihak kepada kita dengan rekod prestasi yang cemerlang,” katanya.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: