UM - 19/10/10
KUALA LUMPUR 18 Okt. - Semangat waja dan kerja keras yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional (BN) sehingga berjaya menawan kembali Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil April lalu harus sentiasa disemat dalam diri setiap ahli.
Menurut Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, jika semangat itu dijadikan peraturan kerja ahli BN, misi untuk menawan kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang kini dikuasai oleh pakatan pembangkang bakal menjadi kenyataan.
Beliau berkata, strategi seperti "menyelinap" masuk ke dalam kubu kuat pembangkang untuk mendekati pengundi merupakan langkah terbaik untuk mencapai matlamat dan membuktikan BN adalah parti yang sanggup bersusah payah demi rakyat.
"Program Juara Rakyat telah menjadi titik kebangkitan untuk BN kembali meraih sokongan pengundi yang pudar selepas Pilihan Raya Umum ke-12.
"Hulu Selangor telah membuktikan jika BN dan UMNO bekerja keras tanpa jemu untuk menawan kembali hati rakyat, Insya-Allah kita akan berjaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program untuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya bertumpu di kawasan selamat sahaja.
Menurut Najib, walaupun langkah itu akan menyebabkan pemimpin dan ahli UMNO terpaksa berdepan dengan cabaran, namun ia tidak harus mematahkan semangat mereka demi masa depan parti.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu, sayap penerangan UMNO kini lebih agresif termasuklah mengadakan program di kawasan Parlimen yang dikuasai pembangkang seperti Balik Pulau, Ampang dan juga Titiwangsa.
"Kita akan masuk dan rempuh semua halangan selaras dengan saranan Perdana Menteri yang mahu langkah lebih agresif.
"Pada saya, itu bukannya mustahil kerana pembangkang yang terdiri daripada gabungan tiga parti itu tidak kuat, malah ada sahaja masalah yang melanda mereka. Jadi, kesempatan ini kita akan gunakan sebaik mungkin," katanya.
Nada yang sama turut dilaungkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mengatakan bahawa sudah sampai masanya untuk pemimpin sendiri turun padang bertemu pengundi.
"Kita tidak perlukan lagi pengantara sebaliknya pemimpin-pemimpin sendiri yang perlu turun ke setiap pelosok negara untuk mendekati rakyat.
"Melalui cara ini, rakyat akan kembali mendekati kita kerana berasa selesa dengan sikap prihatin yang ditunjukkan," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, mereka juga akan menumpukan kawasan di mana menyaksikan sokongan pengundi masih berada di atas pagar.
"Kawasan atas pagar ini juga sangat penting untuk kita masuk. Malah, Pemuda UMNO juga tidak takut untuk beramah mesra dengan pengundi di kawasan yang kononnya kubu kuat pembangkang seperti di Gombak.
"Sabtu lepas, Pemuda telah mengadakan program bertemu rakyat di sana dan kehadiran pengunjung yang ramai memberi petanda positif," ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, pergerakan itu sentiasa bersedia untuk mendampingi rakyat sama ada di kawasan selamat atau kawasan pembangkang kerana rakyat di kedua-dua kawasan tersebut adalah sama penting.
"Rakyat di kawasan pembangkang mesti didekati untuk membuktikan BN sentiasa memenuhi keperluan rakyat. Dengan cara itu, tidak mustahil pengundi akan memilih BN," katanya.
"Puteri sentiasa bersedia melaksanakan program-program membabitkan akar umbi di kawasan pembangkang dan lagipun kami sudah ada pengalaman sebelum ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan