15 Oktober 2010

Turun secara misteri

UM - 15/10/10


Norizan Said menunjukkan 13 biji permata ditemui di rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal, Besut, Terengganu, semalam.


BESUT 14 Okt. - Setelah reda dengan gejala sering ghaib sejak lebih dua bulan lalu, keluarga Siti Balqis Mohd. Nor, 22, kini berhadapan pula dengan kehadiran batu-batu permata yang luruh sekali gus menambah elemen misteri dalam kehidupan gadis tersebut.

Paling menghairankan ialah di bahagian bawah beberapa batu permata itu terdapat kalimah Allah, Muhammad dan gambar Kaabah.

Bermula tengah hari semalam sehingga pukul 12 tengah malam tadi, 10 biji permata pelbagai warna jatuh di mana sahaja tempat ibu Siti Balqis, Norizan Said berada, bermula di sebuah bilik dalam rumah tersebut.

Hari ini, sehingga pukul 5.30 petang tadi, empat biji lagi batu permata berwarna putih kaca, merah dan biru berjaya dipungut dan disimpan oleh keluarganya.

Sebiji daripadanya diserahkan kepada pengamal perubatan Islam, Sharhan Shafie dari Kuala Lumpur yang telah secara sukarela merawat keluarganya selama tiga hari berturut-turut yang berakhir hari ini.

"Saya tidak pernah melihat batu permata seperti ini tetapi setakat ini tidak berasa apa-apa yang ganjil mengenainya," kata Norizan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Norizan memberitahu, dia sekeluarga juga terkejut pada kira-kira pukul 12 tengah malam tadi hingga pukul 3 pagi, apabila ada kuasa seakan-akan angin cuba menarik Siti Balqis keluar dari rumah.

"Siti Balqis bagaimanapun berjaya bertahan daripada ghaib begitu sahaja," katanya.

Menurutnya, kira-kira pukul 8 malam tadi, sebiji batu seberat dua kilogram ditemui di atas almari di bahagian dapur rumahnya, namun tidak ketahui siapa dan apa tujuan diletakkan di situ.

Setakat ini, Norizan dan keluarganya telah mengambil keputusan untuk memberhentikan sementara ikhtiar menerusi bomoh tradisi.

Dalam pada itu, solat hajat akan diadakan selepas solat Jumaat esok di semua masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bagi memohon agar keluarga itu diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan berkenaan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: