7 November 2010

Anwar tetap perlu berundur

UM - 7/11/10

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin (gambar) mengulangi pendiriannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berundur daripada dunia politik bagi mengelakkan pembangkang hilang momentum sokongan.

Sambil meminta Anwar berlapang dada dengan pandangan tersebut, Mohd. Asri berkata, jika tidak berlaku perubahan, momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti pula sukar untuk dicapai.

“Jika ini berterusan, pembangkang mula kehilangan momentum, banyak sebab, tetapi bagi saya mungkin salah satu ubat untuk mengatasinya ialah keperluan ‘mentajdidkan’ (perubahan) pemain utama.

“Jika tidak, mungkin negara kita hilang keseimbangan politik antara pemerintah dan pembangkang kerana penganalisis politik juga mengakui bahawa pembangkang kehilangan momentum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam blognya http://drmaza.com hari ini sebagai mengulas tindak balas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berang selepas beliau menggesa supaya ketua pembangkang bersara daripada dunia politik.

Isnin lalu, Mohd. Asri mengejutkan banyak pihak apabila menggesa Anwar supaya menerima hakikat bahawa tidak mungkin generasi baru akan terus bertahan untuk melihat reka bentuk cerita politiknya yang sama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam sistem demokrasi, sesebuah parti politik perlu membentangkan kepada rakyat sejarah politik lepas; mempersembah realiti semasa dan perlu membuat perancangan jelas untuk masa depan.

Tambahnya, jika elemen-elemen tersebut tiada, rakyat akan memberi sokongan kepada parti yang mereka rasa paling mendekati unsur tersebut kerana masyarakat sekarang sudah bijak membuat pilihan buat diri mereka dan negara.

“Sebagai rakyat bawahan yang melihat permainan politik dalam negara ini, dengan sikap ‘buta warna parti’, saya dapat rasakan sejauh mana pertarungan itu di sudut ketangkasan dan manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat.

“Momentum sesebuah aliran politik bukan selamanya, rakyat bukan sahaja akan terikat dengan ‘kenangan semalam’ sebaliknya, mereka juga terikat dengan ‘realiti hari ini’ dan ‘impian masa depan’,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: