UM - 10/11/10
KUALA LUMPUR 9 Nov. - HwangDBS Investment Management Bhd. (HwangDBS) percaya ekonomi Malaysia mampu mengulangi zaman kegemilangannya tahun depan seperti mana tahun 1992.
Ketua Pegawai Pelaburannya, David Ng berkata, situasi itu mungkin berulang berikutan beberapa faktor penyumbang yang dialami pada masa ini adalah sama.
''Antara faktor utama adalah pertumbuhan ekonomi perlahan yang berlaku di ekonomi-ekonomi maju, terdapat lebihan akaun semasa yang kukuh dan penurunan kadar faedah sebenar.
''Selain itu, perancangan kerajaan terutama Program Transformasi Ekonomi (ETP), turut dapat membantu perkembangan berkenaan, khasnya ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat media tentang unjuran pasaran pada tahun depan, di sini hari ini.
Ng juga berkata, pasaran baharu muncul Asia (AEM) akan menjadikan rantau berkenaan tempat yang terbaik untuk melabur berikutan asas, korporat dan lembaran imbangan kerajaan yang kukuh.
''Faktor-faktor itu menawarkan peluang -peluang pertumbuhan, pada tahun depan, kami menasihati pelabur supaya memberikan tumpuan kepada mengekalkan modal dan pelaburan.
''Nasihat pelaburan yang lebih bersifat defensif atau konservatif adalah disebabkan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang perlahan di negara-negara maju,'' jelasnya.
Ng menambah, pada masa ini, rantau AEM merupakan cerita pertumbuhan yang akan berlaku pada masa hadapan.
Katanya, momentum pertumbuhan rantau adalah menggalakkan dengan Indeks Pengurusan Pembelian China (PMI) berada pada kadar melebihi 50 yang bermaksud peningkatan pengeluaran pada September berbanding sebulan lalu, manakala Indonesia akan terus menyaksikan peningkatan perbelanjaan dan kekal berada dalam kedudukan positif.
''Walaupun pertumbuhan ekonomi global adalah perlahan, tetapi kami percaya tidak akan berlaku kemelesetan pusingan kedua,'' tambahnya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan