8 November 2010

Kestabilan politik diiktiraf

Bernama - 2010/11/08

Persekitaran mesra pelaburan lonjak negara dalam indeks WEF

BACHOK: Pengiktirafan Malaysia sebagai negara ke-20 antara negara terunggul dalam indeks pembangunan kewangan Forum Ekonomi Dunia (WEF) tahun ini berasaskan kestabilan politik yang meyakinkan suasana pelaburan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata ia tidak mengejutkan kerana Malaysia sebelum ini banyak menerima pengiktirafan dunia, terutama sistem kewangan Islam (Perbankan Islam) antara yang terbesar pada peringkat global.

“Keadaan dalam negara yang aman dan rakyat bersatu padu dan mesra pelaburan banyak menyumbang ke arah itu,” katanya kepada pemberita pada majlis mini konvokesyen graduasi kanak-kanak Tabika Kemas di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa Malaysia mencatat peningkatan mengagumkan sebanyak lima anak tangga dan menjadi antara 20 negara terunggul dalam indeks pembangunan kewangan WEF tahun ini, ekoran pertambahan besar pengumpulan matanya, terutama dari segi kestabilan kewangan hingga mengatasi Singapura.

Kekuatan negara sebagai pusat perbankan Islam juga jelas berdasarkan indeks itu, kata laporan pembangunan kewangan tahunan ketiga WEF yang dikeluarkan di sini.

Malaysia meningkat daripada kedudukan ke-22 ke tangga ke-17 dalam indeks keseluruhan diterajui Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Awang Adek berkata, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Khamis lalu, akan meyakinkan lagi pelabur luar untuk melabur di negara ini.

Beliau berkata, gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Tranformasi Ekonomi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipandang positif oleh dunia sebagai yang terbaik di rantau ini. – BERNAMA

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: