4 November 2010

Negara sasar 10 teratas dunia

UM - 4/11/10

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Perdana Menteri berkata, negara menyasarkan kedudukan 10 negara teratas di dunia dalam urusan menjalankan perniagaan menjelang hujung Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu sebelum 2015.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, pelaksanaan sistem laluan nombor identiti korporat Malaysia (MyCoID) fasa kedua akan memberi impak positif dalam meningkatkan daya saing negara di peringkat dunia dan memperbaiki penilaian Bank Dunia dalam aspek Starting a Business atau memulakan perniagaan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan penilaian Doing Business 2010 Bank Dunia, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 daripada 183 negara.

"Tetapi ketika penilaian ini dilakukan, memulakan perniagaan di Malaysia memerlukan sebanyak sembilan proses dan 11 hari. Kini saya berasa bangga untuk menyatakan bahawa pelaksanaan MyCoID hanya memerlukan satu proses dan masa sehari sahaja.

"Ia menjadikan negara setara dan setanding dengan New Zealand yang kini berada pada kedudukan pertama. Dengan andaian faktor-faktor lain tidak berubah bagi negara lain, kedudukan kita mampu melonjak kepada kedudukan ke-17 pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran MyCoID di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, tegas Najib, sasaran tersebut bukannya sesuatu yang mudah kerana sudah pasti negara-negara lain akan turut melakukan peningkatan berterusan dalam pelbagai aspek.

"Inilah mengapa saya sering nyatakan bahawa untuk maju kita perlu sentiasa berada di hadapan keluk perubahan manakala untuk kekal di hadapan, kita perlu menerajui perubahan," katanya.

Fasa pertama MyCoID dilancarkan oleh Najib pada 11 Februari lalu iaitu yang memperkenalkan nombor pemerbadanan syarikat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai nombor rujukan tunggal agensi kerajaan.

Agensi terlibat adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp. Malaysia).

Setelah dilaksanakan sepenuhnya, MyCoID fasa kedua ini, ia dijangka akan memberi manfaat dalam empat perkara:

* Memudahkan orang awam terutama komuniti korporat dalam urusan perniagaan mereka dengan hanya perlu menggunakan satu nombor rujukan sahaja, bukan beberapa nombor rujukan sebelum ini.

* Meningkatkan keberkesanan transaksi antara orang awam dan agensi kerajaan melalui pengurangan masa 'rujuk silang' atau cross-referencing.

* Mempertingkatkan interaksi antara agensi kerajaan terutama dalam penyaluran input, pengesahan dan pengemaskinian data.

* Membolehkan urusan pemerbadanan dan pendaftaran syarikat dengan beberapa agensi berlainan dibuat secara one touch point.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: