UM - 11/11/10
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Pelbagai masalah dalaman yang berlaku kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan bahawa parti tersebut sedang retak menanti belah.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, malah kepercayaan ahli PKR semakin lama semakin pudar kerana terlalu banyak masalah melanda penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, berikutan itu, ramai ahli PKR yang keluar parti dan menyertai UMNO serta Barisan Nasional (BN) sejak kebelakangan ini.
''Kita dah banyak mendengar pendedahan yang dibuat oleh ahli serta pemimpin parti itu sendiri.
''Jadi saya rasakan rakyat sudah pandai menilai sejauh mana PKR memperjuangkan keadilan seperti yang dicanangkan sebelum ini sedangkan mereka kini merupakan sebuah parti yang kian rebah,'' katanya.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin pula berpendapat, Anwar dan Azmin serta sekutunya yang lain sudah tidak mampu lagi menjadi penglipur lara kononnya mereka memperjuangkan nasib rakyat.
Katanya, pendedahan demi pendedahan yang dibuat mengenai kepincangan yang berlaku dalam PKR telah menunjukkan kegagalan dan kelemahan parti itu.
''Saya percaya selepas ini pasti akan muncul lagi desakan daripada kalangan ahli parti itu supaya Anwar serta anak emasnya, Azmin meninggalkan PKR kerana kepercayaan terhadap mereka semakin hilang,'' jelasnya.
Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung pula berkata, para ahli serta penyokong PKR perlu berfikir semula mengenai masa depan serta perjuangan parti yang dilihat semakin goyah serta lari daripada matlamat asal.
Katanya, seluruh rakyat Malaysia mengetahui cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tetapi malangnya cita-cita itu menjadi angan-angan semata-mata apabila melihat kepada situasi dirinya dan juga parti.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan