SEPAKAT...Sufian (dua dari kiri) dan Baharom (tengah) berbincang mengenai program Qurban Harian Metro 2010. BESUT: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubang Bemban, di sini, menganggap pemilihan kampung mereka sebagai lokasi program Qurban Harian Metro 2010 sempena Sambutan 20 Tahun Harian Metro pada Aidiladha kedua sebagai pentas terbaik memperkasa semangat pengorbanan dan kejiranan di kalangan penduduk.
Timbalan Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, Baharom Said berkata, pihaknya berbesar hati atas kesudian Harian Metro menyumbangkan 10 lembu untuk dikorbankan manakala dagingnya diagihkan kepada penduduk di 10 kampung di DUN berkenaan.
“Kami yakin dengan adanya program berskala besar anjuran akhbar nombor satu tanah air ini mampu menyemarakkan semangat pengorbanan di kalangan penduduk, selain mempromosikan kampung ini kepada orang luar.
“Kami menjangkakan lebih 1,000 penduduk akan menghadiri program ini,” katanya dalam perbincangan, di sini, malam kelmarin, yang turut dihadiri Ketua Biro Harian Metro Wilayah Timur, Sufian Thauri Muhammed.
Program yang akan diadakan di pekarangan Rumah Penghulu Kampung Kubang Bemban itu bakal dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar.
Selain Jertih, Harian Metro turut mengadakan program sama bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom, di Kubang Pasu, Kedah, pada hari sama.
Harian Metro menyumbangkan 10 lembu manakala Pejabat Ahli Parlimen Kubang Pasu menyumbangkan 12 lembu bagi program di Kubang Pasu.
/hwa: hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan