5 Februari 2011

Petanda transformasi diterima rakyat

UM - 5/2/11

MENEPATI jangkaan dan ramalan awal, Barisan Nasional (BN) melalui calonnya Mohd Azahar Ibrahim berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang pada Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada 30 Januari lalu dengan memperoleh majoriti 3,707 undi iaitu peningkatan sebanyak 1,243 undi berbanding 2,492 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) pada 2008.

Pemilihan Azahar sebagai calon dalam PRK itu dilihat sebagai membuka lembaran baru dalam proses transformasi politik BN. Menurut media tempatan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Mohd. Azahar dipilih sebagai calon mewakili BN setelah diputuskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN setelah mengambil kira kriteria-kriteria seorang pemimpin yang diyakini mampu melaksanakan amanah dengan baik serta disenangi oleh pengundi.

Azahar merupakan anak jati Labis yang juga seorang tokoh yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat setempat dan prihatin mengenai keperluan pembangunan di kawasan itu.

Selanjutnya Muhyiddin berkata, pemilihan Azahar tidak bermakna parti menafikan kepemimpinan peringkat bahagian, sebaliknya ia pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Pengerusi BN untuk meletakkan calon yang diterima oleh semua pihak. Beliau juga menyatakan jawatan dalam parti adalah aspek yang diberi pertimbangan, tetapi BN telah mengemukakan calon terbaik yang dapat diterima oleh semua pihak dan pengundi.

Hasrat Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN untuk melaksanakan transformasi politik melalui apa yang beliau namakan sebagai Model Politik Baru mula diterjemahkan di PRK DUN Tenang ini melalui pemilihan Azhar atau lebih dikenali sebagai "Tok Ai" oleh masyarakat setempat adalah selaras dengan ucapan dasar beliau semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-61. Di dalam ucapan dasar tersebut juga, Najib telah menyatakan bahawa transformasi politik dalam UMNO atau dengan bahasa yang lebih mudah, pemulihan parti perlu melalui tiga frasa merangkumi memperakui kelemahan dan permasalahan, bermuhasabah dan mencari penawar yang mustajab serta memulakan gerak kerja.

Pemilihan Tok Ai ini juga merupakan usaha serius Najib selaku Pengerusi BN bagi memenangi semula hati rakyat dan pengundi selepas dikejutkan oleh prestasi hambar BN di dalam PRU 2008 lalu yang lebih terkenal dengan istilah 'tsunami politik' ketika itu. Najib di dalam ucapan penggulungannya semasa PAU pada tahun lalu ingin menjadikan parti UMNO lebih demokratik dan inklusif. Beliau telah menyentuh tujuh perkara bagi memastikan parti kembali mendapat kepercayaan rakyat iaitu dengan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi, memperkuatkan pasukan bukannya kumpulan, memenangi hati rakyat, menjuarai media baru, menyasarkan pengundi baru (muda), sifar masalah dan mendahulukan rakyat.

Kesungguhan Najib terbukti melalui pindaan yang telah dibuat kepada Perlembagaan UMNO bagi meningkatkan penyertaan pemimpin peringkat akar umbi dari segi pemilihan pucuk pimpinan di masa depan.

Najib telahpun memberi isyarat awal baru-baru ini sebelum proses penamaan calon di PRK DUN Tenang dengan mengatakan bahawa parti hanya akan mengetengahkan calon yang menang sahaja di dalam pilihan raya akan datang. Calon popular itu tidak semestinya yang mempunyai kedudukan dalam parti tetapi mereka yang dicalonkan itu diterima baik oleh masyarakat keseluruhannya.

Kepada yang tidak terpilih sepatutnya tidak berkecil hati. Paling penting adalah kepentingan parti yang perlu diutamakan. Jangan ada cantas mencantas di dalam parti. Inilah satu evolusi di dalam UMNO, satu pendekatan baru memilih calon bukan di kalangan berjawatan sahaja di dalam parti tetapi memilih calon yang diminati oleh pengundi dan paling penting, mampu menang di dalam pilihan raya.

Pemilihan Azahar dan keputusan di PRK DUN Tenang ini menjadi platform awal ke arah menjayakan transformasi politik dalam BN. Satu mesej jelas dari Najib kepada BN secara amnya dan UMNO khususnya bahawa beliau selaku Pengerusi BN hanya akan memilih calon yang boleh menang sahaja di dalam PRU ke-13 yang dijangka menjelma tidak lama lagi. Isyarat yang jelas juga kepada semua pemimpin-pemimpin BN untuk 'turun padang', bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh menjalankan tugas dan pada masa yang sama berusaha 'menawan' hati rakyat, sekiranya ingin dipilih semula sebagai calon dalam PRU akan datang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan, UiTM Perlis.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: