19 Februari 2011

Sentimen pengundi Merlimau

UM - 19/2/11


Najib Tun Razak sekali lagi akan turun ke Melaka bertemu penduduk Merlimau.


MACAM-macam versi didengar apabila bercakap tentang asal nama Merlimau. Salah satunya, yang sekurang-kurangnya boleh dipercayai ialah suatu masa dulu orang kampung di situ sangat handal bersilat dan bermain senjata. Jadi, nama ‘Merlimau’ berasal daripada ‘melimaukan keris’. Lama kelamaan jadilah ‘Merlimau’.

Merlimau saat ini menjadi perhatian umum khususnya kalangan orang politik kerana bakal menyaksikan pilihan raya kecil kali ke-15 pada 6 Mac depan.

Bagi pemerhati politik, antara analogi kerap didengari dan sering digunakan oleh mereka dalam memperkatakan kekuatan atau pengaruh parti yang mentadbir Melaka sekarang ialah: ‘Kalau nak diukur kekuatan, lihatlah sahaja sampaikan Lim Guan Eng sendiri terpaksa ‘lari’ ke Pulau Pinang. Sehinggakan terpaksa pula meninggalkan isteri di Melaka.’ (Isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng, Naib Pengerusi Wanita DAP merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana di Melaka).

Itu analoginya. Kita tinggalkan sementara andaian itu.

Dan tidak seperti pilihan raya-pilihan raya kecil lepas, banyak pihak mengakui meskipun pilihan raya kecil itu berbaki hanya tinggal dua minggu lagi, pakatan pembangkang terutama pencabar BN iaitu Pas dilihat seolah-olah ketandusan modal dan isu.

Tidak banyak isu tempatan dimainkan parti ‘Islam’ itu. Sehinggakan terpacul daripada mulut Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menganggap pilihan raya kecil yang akan meletakkan calon parti itu nanti sekadar latihan untuk Pas menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ungkapan itu tidak pernah keluar daripada mana-mana pemimpin Pas dalam kesemua 14 pilihan raya kecil sejak Mac 2008. Barangkali juga di Kerdau nanti.

Adakah Pas mula curiga atau was-was terhadap penerimaan rakyat terhadap parti itu setelah dalam setahun ini menyaksikan BN menyapu bersih empat daripada lima kerusi yang dipertandingkan dalam PRK.

Hal ini diakui sendiri oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Adly Zahari. Adly mengakui setakat ini isu setempat tidak mendapat perhatian masyarakat di negeri itu. Malah beliau terpaksa akur dengan sikap rakyat Melaka lebih kepada melihat soal pembangunan yang bagi mereka adalah sumbangan yang besar kerajaan kepada rakyat.

Dan itulah yang sebenarnya sering diberi penekanan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dan dikatakan itu antara yang akan dibangkitkan oleh beliau sendiri pagi ini dalam memulakan rangka lawatan kerja ke Melaka.

Ketika pakatan pembangkang menjadikan ‘isu wajib’ dalam siri ceramahnya kebelakangan ini dengan menyentuh soal kebangkitan rakyat di Mesir dan Tunisia, mereka sebenarnya ketandusan modal tentang isu-isu pembangunan di Merlimau.

Masalah rakyat di Melaka khususnya di DUN Merlimau sering mendapat perhatian dan tindakan susulan kerajaan. Ini termasuk dalam mendapatkan kemudahan asas seperti jalan berturap, pembinaan rumah kedai, gerai niaga, masjid dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Difahamkan juga antara projek yang bakal dilaksanakan adalah Bandar Baru Merlimau bernilai RM44 juta, Penjara Industri Fasa 1 (RM49 juta), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Merlimau (RM4 juta), Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Merbau (RM4 juta) dan naik taraf Jeti Kuala Merlimau (RM5.6 juta).

Begitu pun dalam gelanggang politik PRK yang mana penyandang dan pencabar adalah seteru, masih akan ‘tetap ada isu’ yang akan dimainkan. Dikatakan yang berlegar-legar dalam fikiran pencabar BN di Merlimau nanti berkisar kononnya terdapat isu ‘pembaziran’ dengan pembinaan jam bunga di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang didakwa menelan kos RM500,000, lapangan terbang yang dikatakan ‘mahal’ tetapi ‘tiada pesawat beroperasi’ dan projek ‘Eye on Malaysia’ yang terpaksa ditutup.

Di sini, pembangkang akan mengemukakan ‘hujah’ mereka dan BN dikatakan mempunyai ‘peluru’ untuk mematahkannya.

Dan seperti mana kebiasaan dalam kempen-kempen PRK Pas, parti itu akan lebih kerap menurunkan sentimen ‘Islamik’ dalam siri ceramah mereka - seperti mana Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memanipulasikan aspek ‘jahiliah’ terhadap mana-mana pengundi yang tidak menyokong Pas.

Namun bagi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, beliau percaya taktik serangan peribadi, putar belit agama dan sentimen perkauman yang berulang kali dimainkan pembangkang pada setiap pilihan raya kecil akan sekali lagi ditolak pengundi di Merlimau.

Kata beliau kepada sebuah portal dalam talian baru-baru ini: “Saya ingat kalau mereka cuba serang peribadi, main isu agama dan perkauman di sini tak boleh jalan, tak laku.

“Pembangkang buat perkara ini sebab mereka tiada modal... itu saja senjata mereka, kalau mereka guna cara ini saya yakin akan memakan diri. Pengundi di negeri ini khususnya di Merlimau lebih mengutamakan kesejahteraan dan pembangunan yang boleh memberikan mereka lebih manfaat.”

Kini masa depan DUN Merlimau terletak di tangan seramai 10,679 pemilih berdaftar termasuk 36 pengundi pos. Rekod daftar pemilih sehingga 31 Disember lalu menunjukkan jumlah pengundi di DUN itu ialah 10,767 orang iaitu Melayu sebanyak 64.1 peratus, Cina (20.8 peratus), India (14.4 peratus) dan lain-lain bangsa (0.7 peratus). Pada Pilihan Raya Umum 2008, calon BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan mengekalkan kerusi itu apabila menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon Pas, Jasme Tompang.

Sebanyak tujuh buah sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 21 saluran tempat mengundi. Sekolah-sekolah berkenaan adalah SJK (C)Jasin Lalang, SK Chinchin, SJK (T) Ladang Jasin Lalang, SK Merlimau 2, SK Merlimau 1, SK Merlimau dan SJK (C) Merlimau.

Pagi ini, Perdana Menteri akan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Lanchang sebelum menghadiri taklimat PRK DUN Merlimau di Bilik Gerakan di Common Center. Di sebelah petang pula, beliau akan bertemu rakyat di Pekan Merlimau dan Jeti Nelayan Kuala Merlimau manakala pada sebelah malam menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina di padang Politeknik Merlimau.

Sejak pilihan raya umum Mac 2008, sejumlah 16 pilihan raya kecil diadakan dengan 13 daripadanya kerana kematian wakil rakyat. Ini termasuk di Merlimau dan Kerdau yang masih dalam pertimbangan tarikh SPR.

Bilangan 16 itu menyamai jumlah 16 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ketujuh dan tiga bulan sebelum pilihan raya umum kelapan pada November 1990. Juga, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan antara tempoh selepas pilihan raya umum 1990 hingga menjelang pilihan raya umum April 1995.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau nanti cuma kurang satu daripada 17 pilihan raya kecil - jumlah tertinggi sejak awal 1980-an – yang diadakan sepanjang tempoh selepas pilihan raya umum 1995 dan sebelum pilihan raya umum 1999.

Katakan BN menang kerusi Merlimau dan Kerdau, maka kedudukan BN dan pakatan pembangkang adalah seri. Lapan kerusi BN menang dan lapan lagi diraih pembangkang sejak 2008.

Dan dalam mana-mana kunjungan turun padang Perdana Menteri bertemu rakyat di negeri-negeri termasuk ke Sibu tahun lepas, antara yang ‘berbuih mulut’ diungkapkan oleh Pengerusi BN tersebut ialah:

“Rakyat tidak harus mendengar dakyah parti-parti pembangkang untuk berkempen dalam pilihan raya.

“Dalam pilihan raya, kita harus memilih siapa yang boleh diletakkan harapan dan dapat mengubah nasib kita di masa depan, dan bukannya mendengar isu-isu yang tiada kaitan dengan kehidupan kita.”

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: