3 Februari 2011

Sikap Anwar punca tinggalkan parti beramai-ramai

UM - 3/2/11

MUAR 2 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering mengkhianati rakan merupakan punca pengasas dan pimpinan penting parti itu bertindak meninggalkannya beramai-ramai.
Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, Anwar lambat-laun akan ditinggalkan seorang diri kerana ramai penyokong yang sudah lari dengan terbaru Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan pada 29 Januari lalu.
"Semua pengasas bersama sudah 'chao liao', lari meninggalkan Anwar seorang sahaja. Ini bukan kenyataan politik tetapi ia sudah berlaku. Kenapa mereka buat begitu?
"Terbaru Gobalakrishnan, mereka tak percaya kerana Anwar pembohong besar, pengkhianat negara. Dia buat macam-macam cerita dalam dan luar negara yang bukan membawa kebaikan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat banjir kawasan Parlimen Pagoh di Dewan Seri Pekembar Pagoh di sini hari ini.
Beliau berkata, PKR juga umpama rumah yang kehilangan penyokong tetapi cuba ditegakkan seorang diri oleh Anwar, sehingga menjadikan ia sesuai dengan gelaran 'parti kian runtuh'.
Berhubung hasrat Anwar untuk membuat lawatan ke 30 kawasan Parlimen di seluruh negara untuk memperkukuhkan PKR dan memberi penerangan kepada orang ramai, Muhyiddin menegaskan, BN sentiasa bersedia di mana-mana kawasan untuk memberi penjelasan sebenar kepada rakyat.
Katanya, tidak kira Anwar mahu bergerak ke 100 kawasan sekalipun, BN tidak akan gentar kerana parti pembangkang itu hanya membawa berita buruk dengan cercaan, fitnah dan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan.
"Kian hari kepercayaan orang kian runtuh, jadi dia mungkin berasa perlu bergerak ke pelbagai tempat untuk menambah jangka hayat nyawa ikan yang masih tinggal.
"Mahu tidak mahu dia terpaksa bergerak, saya cadangkan dia bergerak ke seluruh negara bukan 30 kawasan sahaja kerana imej dia sudah teruk dan orang tidak percayanya lagi," katanya.
Tambah beliau, pembangkang mungkin mencanangkan pelbagai rancangan seperti mahu menubuhkan negara Islam dengan kerjasama Pas dan pelan 100 hari tetapi keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dan di beberapa kawasan lain sebelum ini menunjukkan rakyat tidak mungkin terpedaya.
Muhyiddin juga menyatakan Selangor menjadi bukti PKR tidak tahu menguruskan negeri kerana isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menjadi begitu kalut dan maruah kerajaan itu jelas hilang apabila pindaan perlembagaan yang cuba dilakukan tidak mendapat kelulusan.
"Rakyat patut melihatnya sebagai tamparan besar kepada parti itu. Itu sebab Anwar kena pergi merantau setiap negeri meminta tolong, minta nyawa," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: