9 Mac 2011

Ambil serius budaya politik negatif Semenanjung

KUCHING 8 Mac - Budaya politik negatif yang menular di Semenanjung khususnya pada setiap pilihan raya kecil (PRK) perlu diberi perhatian serius oleh kepimpinan negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, jika tidak diambil berat, ia dikhuatiri menjejaskan keamanan dan mengeruhkan keadaan di negeri ini sepanjang proses itu kelak.

Katanya, perkara itu merupakan salah satu daripada topik yang dibincangkan bersama Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam satu kunjungan hormat di sini petang ini.

"Banyak perbincangan tadi pun berkisar kepada itu (pilihan raya negeri) dan bagaimana kita di peringkat persekutuan dapat berfungsi sebagaimana kepimpinan negeri.

"Isu politik kebencian, politik fitnah, politik perkauman dan matlamat menghalalkan cara demi kuasa, itu semua dibincangkan dengan Ketua Menteri," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Bilik Gerakan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Pertemuan Hishammuddin dan Abdul Taib berlangsung lebih dua jam di kediaman Ketua Menteri itu di Demak Laut, di sini.

Ditanya apakah persiapan pihak berkuasa untuk menangani ancaman budaya politik negatif itu, Hishammuddin berkata sebagaimana di Semenanjung, tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang.

Justeru beliau menyeru rakyat dan pemimpin politik di Sarawak supaya bertindak matang dalam mengharungi proses demokrasi itu kelak.

"Saya berkongsi aspirasi dan harapan dengan Ketua Menteri, janganlah kerana politik kita ketepikan dan gadaikan keharmonian.

"Lihatlah di luar sana, negara-negara yang maju dan merdeka lebih awal daripada kita berada dalam keadaan huru-hara, janganlah sebab politik, ia berlaku pula di sini (Sarawak)," tegasnya.

Mengenai laporan polis yang dibuat sayap pemuda parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terhadap Radio Free Sarawak yang didakwa menabur fitnah kepada Abdul Taib dan kerajaan negeri, Hishammudin berkata kes itu sedang disiasat.

Katanya, jika pengendali radio itu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, pihak berkuasa pasti akan menyeret mereka ke muka pengadilan.

"Kita tidak akan ambil tindakan selagi tiada bukti mencukupi dan jelas bahawa mereka melanggar undang-undang, ini bukan berkaitan politik," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my | um - 9/3/11

Tiada ulasan: