Oleh Rejal Arbee
2011/03/24
Masyarakat sangsi pengamal perundangan pertahan tertuduh, mangsa2011/03/24
AKHIR-AKHIR ini kedudukan dan cara pengendalian sistem perundangan atau keadilan sering menjadi bahan persoalan. Ini bukan kemusykilan baru kerana persoalan apakah keadilan, khususnya usaha mencari kebenaran terhadap sesuatu perlakuan jenayah wujud di kalangan pengamal perundangan dan mahkamah kita sering saja timbul apabila melihat perjalanan kes tertentu yang dibawa ke mahkamah.
Kemusykilannya ialah apakah semua pihak yang terbabit dalam sesuatu kes jenayah daripada pihak yang menyiasat, pendakwa, pembela dan mahkamah benar-benar mahu mengetahui kebenaran dan dengan itu menentukan siapa yang melakukan sesuatu jenayah dan penjenayah itu dikenakan hukuman setimpal mengikut peruntukan sedia ada.
Malangnya, apabila dilihat dari pelbagai kes yang dihadapkan ke mahkamah, khususnya yang membabitkan orang tertentu, gambaran yang wujud di kaca mata orang awam ialah pengamal perundangan kita seolah-olah lebih menumpukan usaha mereka bagi menentukan yang dituduh mendapat keadilan.
Ini sebenarnya tidak salah, tetapi janganlah hendaknya dilihat seperti mengabaikan keadilan kepada mangsa, sanak saudaranya dan juga masyarakat.
Persepsi bahawa tertuduh saja yang mendapat keadilan tidak dapat lupus daripada pemikiran, seolah-olah keadilan yang hendak dipertahankan dan dicari hanyalah keadilan untuk yang dituduh, bukannya mahu mencari kebenaran, iaitu siapa yang melakukan sesuatu jenayah itu.
Jika dia sebenarnya yang melakukan jenayah itu, dia sepatutnya dikenakan hukuman setimpal bukannya dibebaskan hanya kerana perkara teknikal yang kadang kala kelihatan sungguh remeh.
Kebenaran dan keadilan kepada mangsa atau anak, isteri/suami dan sanak saudaranya seolah-olah tidak dipedulikan. Dengan itu masyarakat pun nampak tercemar kerana tidak diberi pertimbangan sewajarnya.
Kemusykilan ini tidak dapat dilenyapkan apabila melihat betapa ghairahnya kita untuk menentukan yang dituduh menerima keadilan, di mana keadilan bermakna dia akan dibebaskan daripada tuduhan. Inilah juga kenapa apabila seseorang tertentu yang dihadapkan ke mahkamah dan kiranya disabitkan, ada kalanya keputusan itu dipertikaikan dan mahkamah ditohmah sebagai sudah dipengaruhi pihak ketiga.
Mahkamah akan hanya dianggap sebagai adil dan tidak memihak apabila mendapati tertuduh itu tidak bersalah.
Kemusykilan mengenai keadilan dan tanda tanya terhadap apakah kita sebenarnya mahu mendapatkan kebenaran timbul biasanya kerana wujud kelemahan pihak penyiasat, iaitu polis yang kadang-kadang tidak teliti untuk mendapatkan bukti sahih sebelum tertuduh dihadapkan ke mahkamah.
Maka tidak menghairankan juga ada kalanya kerana penyiasatan sambil lewa dan amat lemah orang yang tidak bersalah pula yang dihadapkan ke pengadilan hanya kerana penyiasat mahu menutup kes seberapa segera yang boleh.
Dari segi keadilan sememangnya tertuduh itu tidak patut disabitkan kerana bukan dia yang melakukan jenayah itu. Kalau dia disabitkan juga tentunya ia bukan saja tidak adil tetapi adalah suatu kezaliman pula bukan saja kepada tertuduh dan sanak saudaranya, malah masyarakat pun.
Implikasinya amat buruk bagi masyarakat kerana pelaku jenayah itu bebas saja seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Maka dengan itu di mana letaknya keadilan? Dalam senario demikian apa keadilannya yang boleh diharapkan oleh mangsa dan masyarakat?
Oleh itu gambaran yang berterusan berada dalam pemikiran orang biasa yang tidak mengetahui selok-belok guaman ialah keadilan yang begitu lantang dilaung-laungkan, khususnya oleh peguam bela yang bermati-matian mempertahankan anak guamannya walau pun dialah sebenarnya yang melakukan jenayah itu. Oleh itu, timbul kesangsian orang ramai apakah pengamal perundangan kita sebenar-benarnya mahu mencari kebenaran dalam sesuatu kejadian jenayah atau apakah mereka lebih mementingkan siapa yang akan menang antara pendakwa dengan pembela.
Persepsinya ialah mereka bukannya kisah sangat mahu tahu kebenaran sesuatu kejadian jenayah itu, iaitu apakah yang dituduh sebenarnya melakukan jenayah atau tidak, tetapi yang lebih diutamakan ialah apakah pendakwa menang apabila tertuduh didapati salah atau peguam bela yang menang apabila tertuduh didapati tidak bersalah.
Oleh itu pelbagai helah akan ditimbulkan ada kalanya tidak menjurus kepada usaha untuk mencari kebenaran tetapi hanya mahu mengusutkan lagi usaha itu hanya kerana mahu mensabitkan atau membela yang dituduh tanpa menghiraukan kebenaran lagi.
Kiranya ini yang menjadi pokok perbicaraan, apa sudah jadi dengan kebenaran dan keadilan untuk mangsa yang menanggung derita akibat sesuatu perlakuan jenayah terhadapnya.
Ia juga memberi gambaran seolah-olah keadilan kepada anak isteri/suami mangsa tidak mendapat pertimbangan sewajarnya, malah tidak dihiraukan pun. Jauh sekali keadilan bagi masyarakat.
Apabila sesuatu jenayah berlaku tentunya ada orang yang melakukan, ada mangsa iaitu orang yang menerima penderaan hasil daripada jenayah itu, termasuk sanak saudaranya dan juga masyarakat.
Tidak harus wujud gambaran di mana pihak yang terbabit itu, lebih-lebih lagi peguam bela dan mahkamah dilihat tidak kisah sangat dengan kebenaran, tetapi apakah tertuduh mendapat keadilan. Oleh itu, tidak harus berlaku keadaan di mana gambarannya peguam bela mencari helah untuk melepaskan tertuduh daripada jenayah hanya kerana hal teknikal walaupun dialah sebenarnya yang melakukan jenayah itu.
Mungkin juga persepsi pendakwa termasuk pihak polis yang menyiasat, pembela dan mahkamah tidak kisah sangat dengan mencari kebenaran ini tidak tepat dan salah, tetapi perjalanan beberapa kes tidak dapat melenyapkannya, malah ada kalanya menguatkan lagi persepsi demikian. Apakah ini keadilan yang kita mahu cari? Ketiga-tiga pihak, termasuk polis sebagai penyiasat yang perlu mendapatkan bukti kukuh seharusnya berazam mahu mencari kebenaran dan hanya demikian saja barulah keadilan kepada semua dapat dijamin.
Penulis ialah Felo Kanan UKM
/hwa: bharian.com.my | bh - 24/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan