25 Mac 2011

Banyak faedah boleh disambar – Hafsah

KUALA LUMPUR 24 Mac – Peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan sepatutnya menjadikan bencana yang menimpa Jepun sebagai kelebihan untuk mereka mengisi keperluan perdagangan yang ‘dikosongkan’ oleh negara tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp.) Datuk Hafsah Hashim berkata, peserta PKS negara perlu melihat peluang lebih besar dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor dan automotif berbanding memberi tumpuan kepada sektor kecil seperti produk makanan.

Menurut beliau, bencana tsunami yang melanda Jepun telah mengakibatkan hampir semua industri besar musnah dan mengambil masa sekurang- kurangnya lima tahun untuk dibangunkan semula.

Justeru, para peserta PKS seharusnya merebut peluang yang ada sebaik-baiknya sebelum ia ‘diisi’ oleh negara-negara lain yang menghasilkan produk sama seperti Malaysia.

‘‘Sejak bencana tersebut berlaku banyak pihak lebih memberi tumpuan kepada industri makanan sebaliknya PKS Malaysia boleh membuat tawaran lebih besar daripada itu.

‘‘Jangan kita lupa Malaysia adalah pengeluar produk E&E dan semikonduktor terbesar di peringkat dunia, selain kita boleh meningkatkan bekalan kepada negara-negara lain akibat kekurangan bekalan dari Jepun, Malaysia juga boleh mengeksport produk tersebut ke Jepun,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Malah, katanya, dengan kemusnahan industri automotif, Malaysia juga banyak peluang untuk membekalkan kereta, komponen dan alat ganti yang diperlukan ke Jepun.

‘‘Sebenarnya banyak faedah yang boleh kita sambar dan bukannya setakat melihat kepada keperluan makanan sahaja,’’ ujarnya.

Tambah beliau, PKS domestik mampu mengisi kekurangan tersebut kerana memiliki keupayaan dan kapasiti untuk memenuhinya permintaan di negara-negara lain dan juga Jepun.

Beliau berkata, bukan mudah bagi Jepun bangkit semula selepas kemusnahan itu kerana pembinaan kilang dan teknologi tidak selaju roket.

‘‘Jadi, inilah masanya PKS tempatan mengambil peluang meluaskan produk mereka.

‘‘SME Corp. sentiasa membuka pintu untuk membantu PKS yang memerlukan khidmat nasihat dari segala aspek,’’ ujarnya.

Selain itu, tambahnya, PKS tempatan sepatutnya mengambil peluang tersebut untuk bersama-sama membina semula kemusnahan yang berlaku di Jepun.

Sambil memberi contoh, Hafsah berkata, bencana alam itu menyebabkan Jepun memerlukan teknologi tinggi bagi membina semula infrastruktur dan ia peluang tersebut boleh diambil oleh industri semikonduktor.

‘‘Apabila berlaku bencana ini, sudah tentu Jepun memerlukan teknologi tinggi bagi membina kediaman dan infrastruktur yang kalis gempa dan industri semikonduktor mempunyai peluang cerah.

‘‘Begitu juga dengan industri pembinaan kerana kita boleh memasarkan IBS kerana ia lebih jimat dari aspek kos dan masa,’’ katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 25/3/11

Tiada ulasan: