KUALA LUMPUR 24 Mac - Buku Jingga yang memuatkan 10 janji pihak pembangkang sekiranya mereka berkuasa diibaratkan seperti 'iklan barang' yang kelihatan baik tetapi hakikatnya memudaratkan pembeli.
Penganalisis politik dan ahli akademik, Dr. Chandra Muzaffar berkata, sekiranya perkara dijanjikan pihak pembangkang dilaksanakan, ia hanya akan memusnahkan keamanan negara yang dikecapi sekarang.
"Jangan hanya pandai memberi janji manis tetapi tidak berkemampuan melaksanakannya. Sudah tentu aspek kewangan akan menjadi satu masalah yang nyata di dalam hal ini.
"Sepatutnya kita ambil contoh kerajaan hari ini yang melakukan segala perancangan mengikut kemampuan dan melakukannya secara berperingkat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas Buku Jingga yang diperkenalkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada konvensyen parti tahun lepas.
Jelas Chandra, PKR memerlukan sekurang-kurangnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah kira-kira RM200 bilion setahun sekiranya mahu melaksanakan pelan Buku Jingga itu.
"Dari mana mereka mahu mendapatkan wang sebanyak itu? Adakah mereka mahu meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Semua pelan itu mustahil untuk dilaksanakan dalam 100 hari," katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat Buku Jingga hanya satu instrumen PKR untuk meraih undi.
Menurut beliau, PKR hanya mampu melaksanakan rancangan mereka jika kerajaan tidak dibebani sebarang hutang.
"Mereka harus merancang sesuatu yang realistik, bukannya merangka pelan bersifat populis serta mustahil untuk dilaksanakan seperti Buku Jingga itu," ujar beliau.
/hwa: utusan.com.my | um - 25/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan