26 Mac 2011

Jangan 'beri muka' pihak sensasi isu Interlok

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kerajaan digesa supaya tidak lagi 'memberi muka' kepada sesiapa yang cuba mensensasikan novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, kerajaan wajar bertindak tegas terhadap pihak tersebut memandangkan isu Interlok sudah selesai.

"Jika ada yang cuba mahu mencari fasal lagi atau membuat kecoh mengenai Interlok, maka kerajaan wajar bertindak terhadap mereka ini. Jangan bagi muka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu novel Interlok yang selesai apabila kerajaan semalam bersetuju meminda perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat India dalam novel itu setelah mendapat persetujuan Abdullah sendiri.

Ibrahim berkata, Perkasa turut menganggap isu tersebut selesai apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan perkara itu semalam.

Beliau berkata, yang penting ialah Abdullah sebagai penulis novel tersebut bersetuju untuk membenarkan kerajaan membuat pindaan terhadap karyanya.

"Perkara lain tidak penting. Jadi, apabila masih ada pihak yang masih bising mengenai isu ini, ia tidak lain hanya demi kepentingan politik," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, semua pihak harus menerima keputusan itu dengan terbuka serta memahami erti sebenar tolak-ansur.

"Ini adalah keputusan yang dibuat dengan mengambil kira keperluan dan kepentingan semua pihak. Kita berharap tidak ada lagi pihak yang menggunakan isu ini untuk apa sahaja tujuan," tegasnya.

/hwa: utusan.com.my | um 26/3/11

Tiada ulasan: