| |
| Mohd. Shafie Apdal menyampaikan diploma kepada graduan, Muhammad Zharif Mohd. Yusof sambil diperhati oleh Rosli Mat Hassan di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA |
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, graduan yang baru menamatkan pelajaran seharusnya dibimbing supaya pemikiran dan hala tuju mereka akan terus diberi tumpuan ke arah menguasai ilmu pengetahuan sebanyak mungkin.
"Itulah hikmahnya bila diturunkan ayat pertama Iqra' yang membawa maksud 'bacalah'. Bacalah itu bermakna bukan hanya membaca al-Quran tetapi turut membaca dalam mencari ilmu pengetahuan supaya ia ada kemuliaan kepada setiap umat manusia.
"Kalau kita gagal menguasai ilmu pengetahuan, maknanya kita akan gagal mengharungi segala cabaran di dunia. Saya lihat adalah tidak bertepatan kita menggunakan hari konvokesyen sebagai gelanggang untuk kita menguar-uarkan kepentingan politik kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen untuk Program Ijazah Berkembar Jepun (JAD) kerjasama antara Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dan Universiti Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama Canselor Universiti Selangor, Tan Sri Raja Arshad Tun Uda; Pengerusi YPM, Datuk Rosli Mat Hassan dan wakil Duta Jepun, Koici Ito.
Mohd. Shafie mengulas ucapan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada majlis konvokesyen itu yang mana isi kandungan didakwa mempunyai unsur politik.
Abdul Khalid dalam ucapannya yang dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali berkata, lihat sahaja perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin dan orang berkedudukan terus berleluasa.
Projek bernilai jutaan ringgit katanya, masih hanya diberikan kepada rakan dan keluarga serta penyalahgunaan harta awam yang berleluasa dalam kalangan pemimpin parti dan ketua-ketua jabatan misalnya masih berlaku semasa pilihan raya.
Menteri Besar Selangor itu turut berkata, pemberian bantuan ketika banjir pun nampaknya berbeza-beza menurut fahaman politik dan banyak lagi perbuatan ketidakadilan serta kebatilan yang sedang menular dalam masyarakat Malaysia.
Abdul Khalid juga berkata, Parti Liberal Demokratik (LDP) yang sudah 54 tahun berkuasa di Jepun juga dipinggirkan oleh rakyatnya dalam Pilihan Raya 2009, mengapa terjadi demikian, tunggu perubahan yang bakal berlaku di Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafie yang kecewa dengan kandungan ucapan Abdul Khalid itu berkata, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak seharusnya menjadikan hari konvokesyen sebagai pentas untuk mereka berpolitik.
"Jangan kita adun dan cemari hari konvokesyen dengan ideologi yang boleh merosakkan bukan hanya pemikiran setiap graduan bahkan juga proses kejayaan untuk mereka terus cemerlang dalam pelajaran.
"Perkara ini tidak pernah berlaku dalam setiap upacara konvokesyen sebelum ini, di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) saya selaku Naib Canselor pun tidak pernah sentuh soal politik," katanya.
/hwa: www.utusan.com.my | um - 10/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan