KUALA LUMPUR 22 Mac – Janji-janji manis yang dibuat pembangkang melalui Buku Jingga sememangnya sedap didengar, namun ia mampu menimbulkan situasi yang tidak stabil kepada negara sekiranya dilaksanakan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, apa yang dijanjikan oleh pembangkang di dalam buku itu langsung tidak realistik dan hanya akan merosakkan masa depan Malaysia.
Katanya, peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat supaya jangan mudah terpedaya dengan janji-janji pembangkang itu harus menjadi pertimbangan semua pihak.
“Ingatan Perdana Menteri adalah demi kestabilan negara. Kita jangan mudah terpaut pada janji-janji dan manifesto pembangkang tanpa menilai kewajaran dan relevannya janji itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas ucapan Perdana Menteri hari ini yang mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan helah pembangkang menyogok rakyat dengan dokumen-dokumen janji mereka di dalam Buku Jingga.
Mohd. Shafie berkata, mengikut logiknya, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan apabila merancang dan melaksanakan sesuatu pembangunan demi kepentingan negara.
“Secara asasnya, itu yang telah Barisan Nasional (BN) lakukan dan banyak pencapaian dan kejayaan l dicapai hasil perancangan yang terperinci dan realistik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pergerakan itu mengibaratkan janji-janji pembangkang di dalam Buku Jingga tidak lebih seperti gula-gula untuk rakyat.
“Apabila gula-gula sudah hilang manisnya, maka keperluan rakyat diabaikan begitu sahaja. Peringatan Perdana Menteri mengenai janji manis yang kosong itu wajar menjadi perhatian semua,” katanya.
Katanya, rakyat sewajarnya membuka mata dan menilai sejauh mana pembangkang mampu memerintah negara ini sedangkan pemimpinnya tidak putus-putus dibelenggu konflik dan krisis kepimpinan.
Rosnah menegaskan, Buku Jingga jelas menunjukkan pembangkang sudah ketandusan idea dan semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat.
“Rakyat sendiri dapat menilai sejauh mana kemampuan pembangkang lantaran masih banyak keperluan rakyat di negeri-negeri yang mereka kuasai semakin terabai,” katanya.
/hwa: utusan.com.my | um - 23/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan