7 Mac 2011

‘Kemenangan untuk semua pihak’

Roslan ikrar turun padang bukti komitmen sebagai wakil rakyat

MERLIMAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang baru, Roslan Ahmad menganggap kemenangannya pada pilihan raya kecil kawasan itu, semalam sebagai kejayaan semua pihak khususnya pengundi dan jentera Barisan Nasional (BN).

Beliau yang melahirkan rasa syukur, berjanji menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebaik mungkin dan sebagai membuktikan komitmennya, beliau akan turun padang meninjau masalah rakyat, selain berazam membangunkan penduduk di kawasan DUN terbabit.

“Alhamdulillah… ini kejayaan semua dan saya berterima kasih kepada pengundi tidak kira agama dan bangsa yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat kepada mereka, sekali gus menjadikan DUN Merlimau sebagai kubu kuat BN sejak dulu.

“Insya-Allah saya akan melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebaik mungkin dan bekerja keras untuk rakyat di sini sebagai membalas jasa mereka yang mengundi saya,” katanya.

Pada pilihan raya kecil itu, Roslan menang dengan majoriti 3,643 undi menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah.

Ditanya sama ada sudah menjangka kemenangan selesa itu, Roslan, 44, berkata, beliau tidak menjangka kemenangan itu, sebaliknya hanya berserah kepada pengundi dan berdoa kepada Tuhan.

“Saya hanya mampu merancang dan kini bersyukur kepada Allah SWT atas kemenangan ini. Terima kasih kepada pengundi.

“Selepas ini, perkara pertama yang saya akan lakukan adalah berjumpa sekali lagi dengan pengundi Merlimau untuk mengenal pasti dengan lebih mendalam permasalahan mereka dan cuba mencari penyelesaian,” katanya yang turut berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan.

/hwa: bharian.com.my | bh - 7/3/11

Tiada ulasan: