11 Mac 2011

Kerajaan Pas Kelantan Tidak Benarkan Uda Holdings Laksana Projek

KOTA BAHARU, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pas Kelantan memutuskan tidak akan membenarkan syarikat agensi persekutuan, UDA Holdings, daripada melaksanakan sebarang projek pembangunan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri baru-baru ini.

Semasa mengumumkan perkara itu, Husam mendakwa bahawa syarikat GLC itu menjadi antara punca masalah dalam isu Bazar Tok Guru yang berpanjangan sejak tiga tahun lalu serta kemelut perpindahan 415 peniaga ke bazar itu.

"Kerajaan negeri tidak akan beri kelulusan kepada UDA sekiranya Uda tidak menyediakan tempat untuk peniaga (peniaga di pasar Arked Uda)," katanya ketika berucap pada majlis Maulidur Rasul Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di perkarangan tempat letak kereta di Bazar Arked Uda, di sini, Khamis.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dua wakil peniaga iaitu Pengerusi Peniaga Arked UDA, Burhan Mohd Noor dan Pengerusi Peniaga Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) Abdul Salim Ahmad.

Husam berkata kerajaan negeri meletakkan syarat UDA Holdings perlu membina lot kedai kekal kepada para peniaga di pasar arked UDA di sini sebelum kerajaan negeri mempertimbangkan semula untuk syarikat itu melaksanakan projek pembangunan di negeri itu.

Isu itu timbul kembali apabila 415 peniaga dari Pasar Arked Lambok UDA dan Pasar Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB), yang akan dipindahkan ke Bazar Tok Guru, tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri terutama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) kerana lot perniagaan pada harga RM80,000 hingga RM90,000 sedangkan keluasan lot kedai pula sangat kecil iaitu 1.82 x 2.4 meter persegi.

Sebelum ini, Nik Abdul Aziz mengakui kerajaan negeri menanggung kerugian akibat masalah teknikal kerana terpaksa membeli semula bazar Tok Guru itu daripada sebuah syarikat swasta setelah bazar itu dijual oleh PMBK.

Husam berkata UDA Holdings perlu membina sebanyak 115 unit kedai di pasar arked Uda agar 115 peniaga tidak perlu berpindah ke Bazar Tok Guru dan dengan itu kerajaan negeri dapat membesarkan lagi lot kedai di Bazar Tok Guru.

Sementara itu, Burhan berkata beliau hairan kenapa kerajaan Pas Kelantan menyalahkan UDA Holdings dalam isu perpindahan para peniaga ke Bazar Tok Guru sedangkan isu sebenar adalah keluasan tapak kedai di Bazar Tok Guru tidak mengikut keluasan yang dijanjikan sebelum pilihan raya umum 2008.

"UDA Holdings tiada kena mengena dengan isu ini malahan kami lebih suka berniaga di pasar Arked UDA ini berbanding di Bazar Tok Guru. Kadar sewanya lebih rendah iaitu antara RM90 dan RM120 sebulan berbanding di Bazar Tok Guru kadarnya RM250 sebulan," katanya.

Beliau berkata UDA Holdings juga tidak meminta para peniaga di arkednya berpindah dan turut membaiki segala kelemahan di arked berkenaan.

/hwa: bernama.com.my | bernama - 11/3/11

Tiada ulasan: