| |
| Khairy Jamaluddin (kanan) menandatangani logo iklan sempena pelancaran pengiklanan untuk pameran pekerjaan Pemuda Barisan Nasional di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur, semalam. |
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, jika Anwar berada di pihak yang benar dan tidak berpuas hati terhadap apa yang diperkatakan menerusi buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, beliau sepatutnya membawa perkara tersebut ke 'muka pengadilan'.
Bagaimanapun, jelasnya, sehingga kini tidak ada sebarang usaha yang dilakukan oleh Anwar untuk memfailkan saman terhadap pihak tertentu di mahkamah.
''Jadi, kita beranggapan Anwar tidak ada bukti untuk berhujah bahawa beliau berada di pihak yang benar.
''Ini kerana, Anwar tidak berbuat apa-apa tindakan pun. Anwar bukannya tidak biasa menyaman orang. Saya sendiri pun sudah tiga kali disamannya,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelepasan bas dan teksi yang mempamerkan iklan Karnival Kerjaya Pemuda BN.
Karnival berkenaan akan berlangsung tiga hari bermula 25 Mac ini dengan menawarkan kira-kira 20,000 peluang pekerjaan melibatkan penyertaan lebih 600 syarikat korporat dan agensi kerajaan.
A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad setebal 800 muka surat itu nyata mendapat perhatian ramai apabila ia akan diulang cetak 20,000 naskhah lagi bagi memenuhi permintaan pasaran.
Antara yang disentuh dalam buku tersebut itu ialah bagaimana Dr. Mahathir terpaksa memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 dan pendedahan tersebut dilihat menimbulkan reaksi kurang senang Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, dalam buku berkaitan memoir itu, Dr. Mahathir selaku bekas Perdana Menteri mempunyai hak untuk menyatakan apa jua pengalaman hidupnya.
''Jadi, kalau ada pihak yang tidak puas hati seperti Anwar, bawalah ke mahkamah (saman),'' ujarnya.
Sementara itu, Khairy berkata, Karnival Kerjaya Pemuda BN yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 Mac ini dijangka dikunjungi lebih 300,000 pengunjung yang terdiri daripada golongan muda.
Katanya, ini kerana, karnival di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu menawarkan kira-kira 20,000 peluang pekerjaan melibatkan penyertaan lebih 600 syarikat korporat dan agensi kerajaan.
Menurut beliau, peluang pekerjaan itu merangkumi pelbagai peringkat jawatan dan ia perlu direbut oleh mereka yang sedang mencari pekerjaan.
''Tidak hanya sekadar karnival, kita akan adakan juga kursus-kursus pendek untuk mereka mengetahui bagaimana menghasilkan resume yang baik.
''Juga diadakan kursus bagaimana berhadapan dengan sesi temuduga serta latihan-latihan lain berkaitan pekerjaan.
''Kita mengharapkan karnival ini dikunjungi oleh semua khususnya mereka yang sedang mencari pekerjaan. Bagi yang sedang bekerja pula, mereka turut digalakkan hadir bagi mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dari sekarang,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelepasan bas dan teksi yang mempamerkan iklan karnival tersebut.
Khairy berkata, karnival berkenaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Mac ini.
Maklumat lanjut mengenai karnival ini boleh diperolehi dengan melayari www.bnyouthjobfair.com atau menghubungi urus setia di talian 03-20355777.
/hwa: utusan.com.my | 15/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan