7 Mac 2011

MB nafi guna wang negeri

SHAH ALAM 6 Mac - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor cuba mengalihkan perhatian berhubung dakwaan menggunakan wang rakyat untuk membiayai kos penginapan kira-kira 500 perwakilan pada kongres parti itu tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan tersebut dengan memberikan alasan para perwakilan berkenaan bukannya anggota PKR tetapi hanya kumpulan rombongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Sabah dan Sarawak yang mengadakan lawatan di Selangor.

"Kita gunakan (peruntukan negeri) untuk membiayai mereka yang datang dari Sabah dan Sarawak untuk datang melihat kemajuan di negeri Selangor.

"Mereka adalah NGO dari sana (Sabah dan Sarawak), mereka mahu cerita sebenar mengenai keadaan di negeri ini. Kita juga menerima kehadiran suku Penan.

"Sekarang SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sedang sibuk mencari orang Penan di Selangor," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Buku Jingga di Stadium Malawati di sini, malam tadi.

Turut hadir Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw.

Majlis pelancaran Buku Jingga yang merupakan manifesto sekiranya pembangkang mentadbir negara itu dilihat kurang mendapat sambutan daripada masyarakat di negeri ini ekoran kira-kira 1,500 orang sahaja yang hadir berbanding jangkaan pengedaran 10,000 hingga 15,000 unit Buku Jingga secara percuma kepada hadirin sempena majlis berkenaan.

/hwa: utusan.com.my | um - 7/3/11

Tiada ulasan: