7 Mac 2011

Momentum keyakinan rakyat kepada BN berterusan

KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Melaka dan Kerdau, di Pahang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kawasan itu semalam membuktikan peningkatan keyakinan rakyat kepada parti itu.

Walaupun kedua-dua kawasan itu merupakan kubu kuat BN, namun ia hanya salah satu faktor yang menyumbang kepada kemenangan kerana apa yang lebih penting ialah kemampuan parti itu untuk memastikan rakyat terus menyebelahi mereka.

Ternyata sekali, segala propaganda, taktik, helah dan dakyah pembangkang gagal mempengaruhi rakyat untuk menyokong mereka, sebaliknya rakyat lebih mementingkan masa depan berbanding menyerahkan nasib kepada satu pakatan yang kacau bilau.

Kekalahan di Merlimau dan Kerdau sudah tentulah memberi tamparan hebat kepada pihak pembangkang yang sebelum ini turut kecundang dalam PRK DUN Tenang pada bulan lalu.

Pas yang menjadi sandaran pihak pembangkang yang turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP terpaksa akur bahawa populariti mereka semakin merudum.

Ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut kepada Pas selepas parti itu juga turut tumbang ketika PRK DUN Galas di Kelantan pada hujung tahun lalu. Apa pun, kemenangan BN ini telah memberi isyarat yang jelas bahawa rakyat semakin yakin bahawa hanya parti itu sahaja mampu membela nasib mereka.

BN turun di kedua-dua kawasan itu dengan janji dan matlamat untuk memastikan kesejahteraan rakyat akan dapat terus diperjuangkan jika rakyat menyebelahi mereka.

Apatah lagi, dengan pelbagai langkah yang dilakukan oleh kerajaan BN yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, rakyat semakin percaya bahawa masa depan mereka akan lebih terjamin jika terus dipayungi oleh BN.

Sekalung tahniah harus diberikan kepada jentera BN yang bertungkus-lumus di kedua-dua kawasan sejak 26 Februari lalu bagi memastikan kemenangan terus memihak kepada mereka.

Walaupun pembangkang cuba memburuk-burukkan pelbagai usaha kerajaan namun segalanya mampu ditangkis oleh jentera BN yang sememangnya bersedia bila-bila masa untuk berhadapan dengan segala taktik pembangkang.

Namun begitu, perjuangan BN masih belum selesai, persediaaan dan persiapan yang lebih mantap dan jitu perlu terus dilakukan bukan sahaja bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak tidak lama lagi, tetapi juga lebih utama Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pihak pembangkang sudah tentulah tidak akan duduk diam, sebaliknya mereka pasti akan merancang strategi yang lebih hebat bagi mempengaruhi rakyat.

Ia termasuklah menguar-uarkan janji melalui buku jingga yang seolah-olah kini menjadi 'senjata utama' pembangkang untuk merebut kuasa.

Oleh itu, jentera BN perlu melakukan persiapan bagi memberi penjelasan kepada rakyat bahawa mereka tidak seharusnya menggadaikan masa depan mereka hanya kerana terpengaruh dengan janji-janji manis pembangkang.

Setakat ini, propaganda Buku Jingga pembangkang sudah mampu dibenamkan di Merlimau dan Kerdau, sebab itu pembangkang kecundang di kedua-dua kawasan berkenaan. Kini, tugas BN ialah memastikan momentum kemenangan terus memihak kepada mereka bukan semata-mata kerana mahu mempertahankan kuasa tetapi demi masa depan negara.

Ia memandangkan biarpun apa juga hujah pembangkang, masa depan rakyat dan negara tidak boleh dipertaruhkan kepada kelompok berkenaan yang bertanding dalam pilihan raya semata-mata demi merebut kuasa, bukannya demi memperjuangkan nasib rakyat.

/hwa: utusan.com.my | um - 7/3/11

Tiada ulasan: