KUCHING 19 Mac - Gabra, gementar dan berdebar.Itu jawapan spontan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila salah seorang rakan dalam taliannya, Suandi Murtadza meminta beliau berkongsi perasaan ketika kali pertama dilantik menjadi wakil rakyat dan ahli Parlimen pada usia yang muda.
Menurut Perdana Menteri, perasaan sebegitu merupakan perkara biasa yang lazimnya akan dilalui semua orang, lebih-lebih lagi beliau sendiri tidak menyangka dapat berkecimpung dalam bidang politik pada usia sebegitu muda.
"Namun, saya berpegang kepada falsafah apabila seseorang itu dihumban ke dalam kolam, kita cuma ada dua pilihan sama ada berenang ke tepian atau lemas dan tenggelam. Bagaimanapun, saya memilih untuk berenang ke tepian.
"Jadi, sebagai wakil rakyat, saya perlu bekerja keras dan tidak boleh bergantung kepada nama keluarga kerana mahu melakukan sesuatu mengikut cara saya sendiri," katanya,
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab ketika menghadiri majlis pertemuan rakan-rakan dalam taliannya sempena program Mari Berjumpa Mari Berhubung (MBMB) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Lebih 250 rakan dalam talian Najib yang ada di negeri ini hadir pada majlis kali ketiga seumpamanya selepas kali pertama dan kedua di Putrajaya yang masing-masing disertai kira-kira 300 serta 600 rakan.
Setakat ini, beliau mempunyai kira-kira 590,000 rakan dalam laman sosial, Facebook dan lebih 90,000 orang pula menjadi rakan Twitternya.
Terdahulu dalam sesi yang sama, Najib memberitahu, buku-buku penulisan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela merupakan antara buku yang diminati serta banyak mempengaruhinya.
Selain itu katanya, buku Blue Ocean Strategy hasil nukilan W. Chan Kim dan Renee Mauborgne pula banyak mempengaruhi beliau dalam menyelesaikan masalah dengan menggunakan pendekatan yang kreatif dan inovatif.
/hwa: utusan.com.my | um - 20/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan