15 Mac 2011

Testimoni rakyat, usahawan kepada BN


Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Tan Kay Hock ketika merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-75 syarikat George Kent Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau, 6 Mac lalu menjadi ukuran testimoni rakyat termasuk golongan usahawan terhadap keikhlasan serta komitmen kerajaan mentransformasi ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka percaya hanya kerajaan BN mampu merancakkan ekonomi negara dan hasilnya parti mendapat majoriti undi lebih besar dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu.

Selain itu beliau berkata, kejayaan tersebut adalah tanda penerimaan rakyat kepada usaha kerajaan melaksanakan pelbagai program ekonomi setelah mengambil kira kepentingan setiap lapisan masyarakat tanpa seorang pun terkecuali.

"Apa yang dilakukan ini berjaya meningkatkan keyakinan serta pandangan positif rakyat terhadap kemampuan kerajaan dalam usaha kita meletakkan kedudukan ekonomi negara pada tahap yang lebih stabil," katanya ketika melancarkan sambutan ulang tahun ke-75 penubuhan syarikat George Kent (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyentuh langkah kerajaan menyediakan pelbagai dana bagi membantu peniaga tempatan terutama meningkatkan persaingan di kalangan mereka.

Beliau berkata, dana-dana tersebut disediakan melalui kementerian serta agensi-agensi tertentu dan ia berperanan membantu meningkatkan kemampuan usahawan tempatan dalam sektor yang diceburi.

"Sebahagian besar bantuan diberikan dalam bentuk penyediaan kemudahan peralatan pengeluaran produk, pemasaran, promosi, jenama dan sumber manusia," ujarnya.

Muhyiddin juga amat berharap syarikat-syarikat tempatan sentiasa menjalankan perniagaan secara lebih berinovatif supaya produk-produk keluaran mereka menepati kehendak pasaran semasa.

"Langkah ini juga sejajar dengan usaha memastikan syarikat tempatan mampu mengecapi kejayaan dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang. Contohilah kejayaan George Kent yang jenama syarikat ini cukup dikenali sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | um - 15/3/11

Tiada ulasan: