11 Oktober 2011

Politik ‘seberang jalan' ala pembangkang

Oleh Zulkefli Hamzah

MUNGKIN pembangkang berasakan jerat mereka sudah mengena apabila menyimpulkan Bajet 2012 adalah cedokan daripada bajet bayangan mereka. Mereka sengaja memasang perangkap itu agar apa pun dilakukan oleh kerajaan, pembangkang jualah yang terlihat lebih ke depan dan bijak.

Sungguh ia strategi terdesak dan tidak masuk akal sebagaimana strategi 16 September, yang juga tidak menjadi. Begitu terdesaknya mereka mahu menumpang untuk mengukir nama. Tanpa silu mereka mengaku sebahagian Bajet 2012 ditiru daripada bajet bayangan pembangkang.

Tetapi pada masa sama mereka juga menyifatkan Bajet 2012 tidak realistik. Malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksi segeranya melihat ia sebagai ‘bajet gelabah’ menuju Pilihan Raya Umum ke-13.

Memang ada perkara-perkara positif dalam bejet bayangan pembangkang tetapi disebabkan permainan wayang sebahagian pemimpin mereka yang keterlaluan, rakyat muak dengan perilaku dan sandiwara mereka.

Rakyat yang mengharapkan mereka mempamerkan contoh untuk memanfaatkan peluang sebagai pemeriksa dan pengimbang, terus berasa hampa. Bagaimana mungkin mereka boleh berkata Bajet 2012 tidak realistik sedangkan mereka mengaku sebahagiannya dicedok daripada bajet bayangan dan Buku Jingga.

Adakah mereka mahu mengakui bajet bayangan dan janji dalam Buku Jingga tidak realistik dan angan-angan orang poket kosong dan impian orang mabuk kuasa?

Jika pembangkang boleh memilih strategi mengumumkan terlebih dahulu bajet bayangan, tentu sekali lebih munasabah jika Ketua Pembangkang mengumumkan Kabinet bayangan mereka.

Apa yang susah jika tujuannya mahu menunjukkan mereka sebenarnya berupaya menggantikan kerajaan sekarang. Apa yang rumitnya jika tujuannya mahu membuktikan mereka adalah alternatif kepada kerajaan yang ada sekarang.

Tetapi disebabkan matlamatnya untuk memperlekeh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka hanya memilih perkara-perkara yang tidak melibatkan kebertanggungjawaban untuk dipertontonkan kepada rakyat. Yang nyata mereka sebenarnya masih belum mampu.

Sebab itu mereka hanya memilih perkara-perkara yang molek dan manis yang sifatnya populis untuk dipertontonkan kepada rakyat. Yang busuk, yang berulat dengan seni silap mata mereka sorokkan di bawah permaidani.

Selalunya dalam menyelesaikan masalah kritikal, mereka berkata telah menyelesaikan masalah tetapi realitinya tiada keputusan dibuat. Lihatlah contoh hukum hudud di Kelantan dan isu murtad di Selangor.

Lihatlah, lagak mereka seperti orang yang berteriak-teriak di seberang jalan sahaja. Pakatan pembangkang uar-uarkan bajet bayangan seperti mereka berada di sebarang jalan kekuasaan, padahal mereka ada kuasa di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.

Mungkin sudah begitu cara politik mereka. Mereka riuh-rendah berpencak silat mengusulkan itu dan ini dalam bajet bayangan tetapi apa kebajikan yang mereka lakukan kepada rakyat di Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang?

Dalam bajet bayangan, mereka janjikan bonus RM1,000 setahun kepada warga emas, RM1,000 bayaran suri rumah, RM1,000 setahun elaun penjagaan anak kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita bekerja dan RM500 sebulan bagi setiap orang guru.

Realiti mudah cuba semak apa yang pakatan pembangkang lakukan di Selangor. Usahkan janji manis dalam bajet bayangan Persekutuan itu, tetapi janji dalam manifesto tiga tahun lalu pun belum nampak bayangnya.

Ke manakah bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan prasekolah, begitu juga RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri? Sukarkah menurunkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis perniagaan sebanyak 10 peratus? Kenapakah sanggup membiarkan ibu tunggal ternanti-nanti janji elaun RM650 sebulan?

Janji yang ditimang-timang setakat ini hanyalah air percuma 20 meter padu pertama. Ya, bermacam-macam alasan dan dalih boleh diberi. Manusia jujur tidak akan mudah berjanji jika tahu tidak mampu menunaikannya.

Yang anehnya, orang yang sama membentangkan bajet bayangan itu adalah juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Sukar sangatkah untuk Anwar, yang dijaguhkan sebagai tokoh antarabangsa menjadikan Selangor negeri contoh berkebajikan?

Inilah peluang terbaik yang telah diberikan oleh rakyat tetapi terbukti ia tidak dimanfaatkan. Yang tiada diada-adakan, yang ada dipinggirkan. Terbukti, pembangkang terutama Anwar telah gagal mempergunakan ‘kehebatan’ yang dicanangkan selama ini untuk kepentingan rakyat.

Jika mengurus 5 juta penduduk di negeri maju seperti Selangor pun gagal, bagaimana mungkin mereka mahu mengurus 28 juta penduduk. Mungkin tempat mereka hanya sesuai di alam bayangan sahaja.

/hwa: utusan.com.my | 11/10/11

Tiada ulasan: