16 April 2012

Hukum pemimpin biadab

MOHD. Shafie Apdal menyampaikan replika cek kepada wakil peserta Felcra Lekir sambil diperhatikan oleh Tajuddin Abdul Rahman (tiga dari kiri) dan Juzilman Basir (dua dari kiri) di Felcra Lekir, Perak, semalam.


SITIAWAN 14 April - Tindakan tegas wajar diambil ke atas pemimpin pembangkang yang didakwa bersikap biadab mempersenda raja-raja Melayu ketika majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong XIV, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Rabu lalu termasuk mengharamkan mereka memasuki istana atau menghadiri majlis diraja.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, selain tindakan tatatertib, hukuman berlandaskan undang-undang sedia ada juga wajar diambil ke atas mana-mana pemimpin yang mempersenda kemuliaan serta kedaulatan raja-raja Melayu.
''Saya rasa pihak berkuasa boleh ambil tindakan, selain hukuman tatatertib supaya nama mereka boleh disenarai hitam sebagai jemputan (majlis diraja), tindakan juga perlu diambil kerana mereka mempersenda raja yang menjadi antara asas Perlembagaan negara.
''Jika di Dewan Rakyat, mereka ini pasti sudah dihalau dan itu cara terhormat. Kita bimbang kerana sudah boleh kita dengar perbuatan begini mempersenda dan mengejek raja-raja. Mereka diberi penghormatan dan dijemput hadir tetapi ini pula tindakan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Mesra Masyarakat Bersama Felcra yang turut dihadiri Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Juzilman Basir di Padang Astaka Felcra Lekir di sini hari ini.
Mohd. Shafie diminta mengulas kenyataan seorang pegawai perubatan, Dr. Rahman Kadir yang mempertahankan pendedahannya bahawa kejadian beberapa pemimpin pembangkang mempersenda raja-raja Melayu ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Rabu lalu benar-benar berlaku.
Dalam laman sosial Facebook kelmarin, Dr. Rahman meluahkan rasa kecewa terhadap tingkah laku biadab beberapa pemimpin pembangkang yang mengejek dan mempersendakan raja-raja Melayu pemimpin kerajaan.
Sementara itu, ditanya desas-desus beliau akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum akan datang, Mohd. Shafie menjelaskan, sekarang bukan masa untuk bercakap soal kerusi pilihan raya yang perlu ditandingi.
''Sekarang masa untuk kita kerja. Kita perlu pastikan kemenangan parti kerana itu lebih penting pada masa ini. Jangan fikir mana hendak tanding, apa jawatan dan sebagainya, kita mahu menang," jelasnya.
Menjawab pertanyaan mengenai dakwaan kawasan pedalaman dan luar bandar akan kekal sebagai 'simpanan tetap' kerajaan, beliau berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mahu mengambil mudah tahap sokongan yang diberikan oleh golongan itu selama ini.
''Walaupun indikasinya begitu, tetapi kita tidak boleh ambil mudah. Kita tidak pernah mengabaikan golongan di luar bandar dan kita bersyukur nampaknya mereka menghargai kita. Usaha untuk membantu penduduk luar bandar akan terus dipergiatkan, itu jaminan kita kepada mereka," jelasnya.
/HWA: utusan.com.my | 15/4/12

Tiada ulasan: