UMNO Pulau Pinang sudah menyenarai pendek calon yang akan bertanding
pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Senarai itu akan diserahkan kepada
Perdana Menteri, Najib Tun Razak tidak lama lagi.
UMNO Pulau Pinang sudah bersedia untuk menghadapi PRU. UMNO negeri
itu juga yakin dapat ‘mengambil’ semula kerusi yang dimenangi pakatan
pembangkang pada PRU lalu. Sekurang-kurangnya, kerusi Parlimen Balik
Pulau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung dan Sungai Bakap.
Mungkin angin perubahan yang berlaku akan turut membantu UMNO memenangi
semula kerusi Penanti yang disandang PKR dan kerusi tunggal Pas di
Permatang Pasir. Menjadi satu bonus jika UMNO mampu mengambil semula
Permatang Pauh yang suatu masa dulu pernah dikuasainya. Pas juga pernah
menguasai kerusi Permatang Pauh ini.
Pada PRU lalu, UMNO menang 11 daripada 15 kerusi yang ditandingi.
UMNO juga parti tunggal dalam komponen Barisan Nasional (BN) yang menang
kerusi sama ada di peringkat Parlimen atau DUN di negeri itu. Di
peringkat DUN, Gerakan yang diperuntukkan 13 kerusi, MCA (10) dan MIC
(2) gagal menyumbang sebarang kerusi. Calon-calon berkenaan tewas
kepada DAP dan PKR. Apakah kali ini rakan-rakan UMNO di Pulau Pinang itu
sudah mendapat keyakinan baru untuk membantu BN mendapatkan semula
Pulau Mutiara itu? Pastinya masing-masing mempunyai keyakinan walaupun
di atas kertas, ada yang berkata, laluannya teramat sukar. UMNO pula
jangan terlalu yakin untuk menambah kerusi. Walaupun ada desas desus
mengenai kemungkinan Anwar Ibrahim beralih kerusi tetapi jika ia berlaku
adakah ia strategi PKR mahu menambah kerusi atau PKR sudah terasa
Gelombang Biru di Permatang Pauh? Tugas mempertahankan kerusi dan
merampas kerusi yang terlepas sama-sama penting.
Tersilap langkah, yang dikejar dapat tetapi yang dikendong pula
keciciran. Lebih malang, jika yang dikejar tak dapat yang dikendong juga
keciciran. Beberapa kerusi yang sudah ada ‘dalam tangan’ UMNO perlu
dijaga. Walaupun landskap politik sudah berubah hasil pelbagai usaha
yang dilakukan tetapi keputusan PRU lalu perlu diselak dan disemak
semula. Sekurang-kurangnya angka berkenaan dapat memberi peringatan awal
supaya parti tidak leka. Daripada 11 kerusi yang dimenangi UMNO pada
PRU lalu, parti itu hanya menang selesa di lima kerusi sementara di enam
kerusi boleh dikategorikan ‘menang tipis’.
Contohnya kerusi Sungai Dua di kawasan Parlimen Tasek Gelugor. BN
hanya menang dengan majoriti 535 undi mengalahkan calon Pas, Salleh Man
yang kini menjadi ADUN Permatang Pasir melalui satu pilihan raya kecil
(PRK). Sungai Dua ketika di bawah Permatang Pauh pernah menjadi kubu
Pas.
Begitu juga dengan Seberang Jaya apabila pada PRU lalu, Arif Shah
Omar Shah menewaskan calon PKR dengan majoriti 533 undi sahaja
berbanding 4,464 undi pada 2004. Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh,
Abdul Jalil Abdul Majid berkata, mereka sudah bersedia memberi saingan
hebat kepada calon lawan pada PRU Ke-13. Sambil mahu mempertahankan
Seberang Jaya, dua lagi kerusi DUN dan Parlimen akan cuba diambil
kembali. Di Parlimen Nibong Tebal pula, kerusi DUN Sungai Acheh
dimenangi UMNO tetapi majoritinya hanya 250 undi. Di kawasan yang sama,
DUN Sungai Bakap yang dimenangi PKR pula meraih majoriti 2,067 undi
mengatasi majoriti yang dimenangi BN pada PRU sebelumnya. Lebih menarik
untuk dilihat ialah kerusi di kawasan Parlimen Balik Pulau yang
dimenangi calon PKR dengan majoriti 708 undi. Di sini, wujud peluang
untuk UMNO kembali menguasai kerusi itu. Tetapi jangan pula sampai
terjadi seperti kata orang Pulau Pinang iaitu Balik Pulau Bayan Lepas,
sana terpelau sini terlepas!
Bagi tiga kerusi DUN di kawasan Parlimen itu, majoriti undi yang
dimenangi BN melalui calon UMNO adalah kecil berbanding DUN jirannya
Batu Maung dalam kawasan Parlimen Bayan Baru yang dimenangi PKR dengan
majoriti melebihi 3,000 undi. Di DUN Pulau Betong, BN mengalahkan calon
PKR, Dr. Mansor Othman dengan 294 undi. Dr. Mansor kini adalah Timbalan
Ketua Menteri Pulau Pinang I selepas memenangi PRK Penanti. Di Bayan
Lepas, BN mengalahkan calon Pas dengan 399 undi dan di Telok Bahang
mengalahkan calon PKR dengan 465 undi.
Melihat angka-angka ini, ia bukanlah satu kemenangan selesa kepada
BN. Tetapi sekali lagi, orang politik akan berkata, itu 2008. Ya! Tidak
dinafikan landskap politik sudah berubah selepas ‘tsunami’ 2008.
Tetapi apakah selepas empat tahun, ‘kerosakan’ akibat ‘tsunami’ sudah
diperbaiki? Apa pula peranan kerajaan DAP-PKR-Pas untuk turut sama
menambah baik keadaan di pulau itu? Adakah Lim Guan Eng dan
rakan-rakannya tidak melakukan apa-apa untuk memperkukuhkan kedudukan?
Di pihak BN, cukupkah sekadar ‘membongkar’ kepincangan yang berlaku
dalam kerajaan DAP sekarang? Apa yang penting ialah memastikan jentera
parti di semua peringkat dalam keadaan baik dan mampu bergerak lancar
apabila ‘semboyan perang pilihan raya’ dibunyikan.
Tetapi sekali lagi jangan tersilap langkah. Nanti buruk padahnya.
Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam ‘dunia politik’ tempatan
di negeri itu. Apakah ‘cerita di sebalik cerita’ di Permatang Pauh,
Tasek Gelugor, Nibong Tebal dan Balik Pulau. Apakah sudah tidak ada lagi
‘cakap-cakap belakang’ yang boleh ‘membunuh’ keupayaan calon yang akan
ditonjolkan? Di samping kesepaduan pemimpin dan anggota parti, faktor
calon juga amat penting.
Dan untuk sementara, BN perlu mengenepikan cakap-cakap bahawa sukar
untuk BN merampas kembali Pulau Pinang. BN pernah mengharungi cabaran
hebat ketika era Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang yang memperkenalkan
Tanjong I, Tanjong II dan Tanjong III. Ketika itu, UMNO banyak membantu
Gerakan, untuk mengekalkan kuasa politik di negeri itu. Tetapi apabila
UMNO ‘hilang’ empat kerusi pada PRU lalu, Gerakan. MCA dan MIC pula
gagal membantu, Pulau Pinang menjadi pangkalan utama DAP.
BN Pulau Pinang hanya mampu berkuasa kembali sekiranya parti komponen
memberi ‘sumbangan’ secukupnya. Tetapi jangan kerana terlalu menumpukan
perhatian untuk mendapatkan balik kerusi diduduki DAP-Pas-PKR, kerusi
sendiri terlepas!
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan