3 April 2012

Kerajaan penuhi janji


NAJIB TUN RAZAK, Perdana Menteri


KUALA LUMPUR 2 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan yang menerajui negara pada hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, amanah dan sentiasa menepati janjinya.
Beliau yang kini genap tiga tahun menjadi Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya bukan kerajaan populis semberono yang tidak bertanggungjawab terutama dalam merangka dasar dan membelanjakan wang negara.
‘‘Kita telah dan akan sentiasa berterus terang dengan rakyat tentang apa yang kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan, sebaliknya amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa memikirkan kesannya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2012 di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini malam ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Kabinet dengan ucapan Perdana Menteri itu disiarkan secara langsung di saluran TV1 tepat pukul 8.30 malam.
Najib berkata, perjalanan nasional ke arah cita-cita kebangsaan menjadi sebuah negara maju hanya tinggal lapan tahun lagi dan negara memerlukan ‘kenderaan’ yang berprestasi tinggi serta ‘pemandu’ yang cekap untuk mencapai matlamat berkenaan.
‘‘Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang telah terbukti kebolehannya di tengah-tengah jalan, untuk digantikan dengan pemandu yang diragui dan berbahaya.
‘‘Jangan sesekali kita salah membuat pilihan. Berhati-hatilah dengan ‘tukang karut’ yang melipur lara. Mereka ini hanya pandai berjanji tapi tidak pernah mengotakannya. Mereka tidak pernah konsisten antara amalan dan retorik yang dilaungkan,’’ tegas beliau.
Atas dasar itu, Najib meletakkan keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat untuk menilai dan memilih kerajaan yang mempunyai rekod cemerlang dalam meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai perjalanan GTP khususnya tujuh inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), katanya, keutamaan diberi kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat melalui perlaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan memanfaatkan hampir empat juta isi rumah.
‘‘Kerajaan juga telah mengambil langkah inovatif dan kreatif melalui strategi lautan biru untuk meningkatkan jumlah anggota polis terutamanya di kawasan-kawasan panas. Strategi ini nyata berkesan dengan kadar jenayah jalanan berjaya dikurangkan sebanyak 39 peratus manakala jenayah keseluruhan berkurang 11 peratus.
‘‘Bagi NKRA ketiga iaitu meningkatkan pencapaian pelajar, kerajaan memperuntukkan perbelanjaan besar setiap tahun untuk pendidikan. Hasilnya 77 peratus anak-anak kita mendapat peluang mengikuti pembelajaran peringkat prasekolah berbanding 67 peratus, dua tahun lalu,’’ katanya.
Untuk NKRA mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar, ujarnya, hampir 1,000 kilometer jalan luar bandar telah dibina dan sebanyak 27,000 isi rumah luar bandar mendapat nikmat bekalan elektrik manakala 70,000 lagi memperoleh bekalan air bersih.
Najib berkata, NKRA kelima iaitu mempertingkatkan pengangkutan awam bandar menyaksikan kerajaan melaksanakan projek Transit Aliran Pantas (MRT) untuk penyelesaian jangka panjang kepada masalah kesesakan dan memperkenalkan Bas Ekspres Transit (BET) yang telah memanfaatkan 370,000 orang pengguna setiap hari.
‘‘NKRA keenam dalam meningkatkan taraf hidup kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program akhiri zaman miskin atau 1Azam yang telah memberi nikmat kepada lebih 47,000 isi rumah melibatkan perbelanjaan lebih RM500 juta,” katanya.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12

Tiada ulasan: