KUALA SELANGOR 2 April – Tindakan anak syarikat kerajaan negeri, MSNS
Holdings Sdn. Bhd. mahu menaikkan kadar sewa pejabat yang diduduki oleh
Majlis Belia Selangor (MBS) di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor
di Seksyen 7, Shah Alam dekat di sini sehingga 300 peratus menunjukkan
Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor semakin rakus dan
mementingkan wang semata-mata.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh
Omar berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan pakatan pembangkang di
negeri ini sebenarnya gagal membela nasib golongan belia sebagaimana
yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya.
Malah katanya, kerajaan negeri terus memberikan tekanan kepada MBS
yang merupakan pertubuhan induk belia di negeri ini dengan mewujudkan
majlis belia berasingan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
‘‘Sudahlah mereka tidak memberikan sumbangan kepada MBS malah
mengenakan pula kenaikan sewa beratus kali ganda sebagai tekanan.
Sedangkan kalau kita lihat sejarah, sebenarnya Kompleks Belia dan
Kebudayaan dibina semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), cuma
tanah tapak kompleks itu masih milik kerajaan negeri kerana kita tidak
jangka kerajaan negeri akan bertukar tangan.
‘‘Kita yang memperjuangkan pembinaan kompleks tersebut bagi
membolehkan belia yang diterajui oleh MBS mengumpulkan para belia untuk
menjalankan aktiviti kerana sebelum itu kedudukan mereka bersepah kerana
tiada tempat khas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan
Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Selangor di
Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini hari ini.
Timbalan Presiden MBS, Badrul Hisham Badrudin dalam kenyataan
akhbarnya baru-baru ini dipetik sebagai berkata, MBS kemungkinan besar
terpaksa diusir daripada kompleks berkenaan dengan kenaikan sewa dari
RM1,900 sehingga RM5,280 iaitu 300 peratus yang bakal dikenakan ke atas
pertubuhan itu.
Masalah bermula apabila pejabat MBS yang sebelum ini ditempatkan di
tingkat empat dan lima perlu melepaskan lot di tingkat lima selepas
kepimpinan kerajaan negeri diambil alih oleh parti pembangkang.
Perkara itu berpunca daripada arahan kerajaan negeri agar sewaan
sebanyak RM1,900 dikenakan bagi setiap tingkat yang diduduki MBS iaitu
keseluruhannya hampir mencecah RM4,000.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata,
pihaknya sendiri terlibat dalam usaha membina kompleks belia tersebut
kerana beliau sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Gerakan Belia 4B
Selangor dan juga Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia.
‘‘Sepatutnya kerajaan negeri tidak mempolitikkan persatuan belia
tetapi apa yang berlaku sekarang MBS seolah-olah diketepikan dan
menjadikan belia berpecah-belah.
‘‘Dulu kita beri kepada MBS untuk menduduki pejabat di kompleks belia
itu secara percuma kerana kita tahu badan induk belia bukan pertubuhan
yang berorientasikan keuntungan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan pakatan pembangkang juga dilihat gagal
membela golongan belia dari segi aspek pendidikan apabila mengambil
keputusan merobohkan asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan, Kuala
Lumpur.
‘‘Kalau mereka fikirkan soal keuntungan, sepatutnya sediakan dahulu
penempatan para pelajar tetapi sehingga tahun ini tiada sebarang
pengambilan pelajar baru dilakukan,” katanya.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan