KOTA BHARU 17 April - Kerajaan Kelantan tidak akan melayan tuntutan
lebih 400 penduduk Orang Asli dari Hulu Kelantan yang mengadakan
demonstrasi secara aman Ahad lepas kerana mendakwa demonstrasi itu
didalangi pihak luar.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar)
sebaliknya berkata, tindakan masyarakat itu yang mengadakan tunjuk
perasaan hanya berdasarkan kepada perasaan iri hati dengan kejayaan
Kelantan yang selama ini melaksanakan tuntutan seperti yang diminta.
"Ini (demonstrasi) dilakukan oleh Jaringan iaitu pihak luar yang bukannya di bawah Kelantan. Kita dah buat di Kelantan.
"Ini semua kerana iri hati kerana penyelesaian yang telah dibuat di
Kelantan. Nak jumpa buat apa. Kalau rakyat Kelantan saya jumpa," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Program Ijtimak Al-Malak Kelantan
2012 di sini, hari ini.
Ahad lalu, lebih 400 penduduk Orang Asli dari Hulu Kelantan
mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pintu masuk pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, bagi menuntut janji yang
dibuat kerajaan PAS Kelantan berkaitan tanah adat mereka.
Kumpulan itu dari 26 pos penempatan sekitar jajahan Gua Musang,
diketuai Pengerusi Jaringan Orang Asal Kelantan, Azmi Badol berhimpun
kira-kira setengah jam sejak pukul 9 pagi, turut menuntut supaya
kerajaan negeri mengembalikan tanah adat mereka seperti dijanjikan
sebelum ini.
Mengulas perkara itu lagi, Nik Abdul Aziz mendakwa mengetahui dalang
sebenar di sebalik tunjuk perasaan itu tetapi enggan menjelaskan siapa
dalang yang dimaksudkannya.
"Kalau hak luar (mengadakan demonstrasi) pening kepala saya. Kalau
(Orang Asli) rakyat Kelantan dia dah tarik balik pun tuntutan itu. Saya
tak nak sebut (siapa dalang)," katanya. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 18/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan