17 April 2012

PRU-13 sesuai diadakan sekarang – Dr. M

KUBANG PASU 15 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sesuai diadakan pada bila-bila masa sahaja sekarang.
Katanya, ini kerana sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) berada pada tahap yang baik.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika kerajaan BN berasa mereka mendapat sokongan mencukupi daripada rakyat, maka Parlimen boleh dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan.
“Sekarang pun nampak bagus juga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Pengasasan Ke-28 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, dekat sini hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, mengikut sistem British seperti yang diamalkan oleh negara ini, kerajaan yang berkuasa boleh menentukan tarikh untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum.
Kata beliau, ia memberi peluang kepada kerajaan yang berkuasa untuk menilai popularitinya sebelum membuat keputusan membubarkan Parlimen.
“Kalau mereka berpendapat rakyat bagi sokongan yang baik, masa itu buatlah pilihan raya,” katanya.
/HWA: utusan.com.my | 16/4/12

Tiada ulasan: