BESUT 18 Mei - Seramai 287 ketua keluarga peneroka Felda Tenang, Hulu
Besut, dekat sini menerima durian runtuh yang dijanjikan kerajaan
berjumlah RM1.435 juta semalam.
Mereka yang merupakan kumpulan pertama meneroka tanah rancangan itu
sejak lebih 40 tahun lalu masing-masing menerima bayaran fasa pertama
tersebut dalam bentuk cek.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata,
durian runtuh itu merupakan janji kerajaan untuk menyediakan kemudahan
kepada rakyat dan sewajarnya disambut dengan rasa syukur.
Sebaliknya apa yang dikesalkan, kata beliau, pelbagai kenyataan tidak
benar dikeluarkan pembangkang untuk memburukkan Felda dan beliau hairan
mengapa segelintir peneroka boleh terpengaruh.
"Mereka turut menolak tawaran untuk mendapatkan saham Felda Global
Ventures Holdings Berhad (FGVH) tetapi bersetuju menerima durian runtuh
daripada Felda," katanya pada majlis penyerahan sumbangan itu di Dewan
Nurul Ehsan, di sini hari ini.
Menurut Nawi, sepatutnya jika saham FGVH dianggap haram maka durian
runtuh yang diberikan Felda juga adalah haram kerana datang dari sumber
yang sama.
Justeru tambahnya, rakyat sepatutnya menilai sikap sebenar
pembangkang khususnya Pas yang sering mengisytiharkan sesuatu pemberian
dan bantuan kerajaan sebagai haram apabila mereka tidak menerimanya
tetapi halal pula apabila mereka turut memperolehnya.
"Ini hanyalah dakyah pembangkang yang mahu mengelirukan warga Felda
kerana jika Felda, UMNO dan kerajaan zalim, sudah lama peneroka
bertindak keluar dan tidak perlu menunggu begitu lama," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 19/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan