13 Mei 2012

Arshad Ayub, Adibah Amin Tokoh Melayu Terbilang

KUALA LUMPUR 11 Mei - Tokoh pendidik negara, Tan Sri Arshad Ayub dan tokoh penulisan negara, Khalidah Adibah Amin menerima pengiktirafan tertinggi apabila dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Kedua-duanya menerima anugerah tersebut yang berupa pingat dan sijil penghargaan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Arshad yang dilahirkan pada 15 November 1928 di Muar, Johor dipilih atas sumbangannya dalam membangunkan sistem pendidikan negara.
Beliau juga merupakan salah seorang individu yang bertanggungjawab mempelopori pembangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Tokoh pendidik itu yang ditemui selepas majlis sambutan berkenaan menyatakan rasa terharu dan bangga terhadap anugerah yang diterima.
Katanya, anugerah tersebut menjadi pencetus semangat kepadanya untuk terus berusaha membantu membangunkan sistem pendidikan negara walaupun usia telah menjangkau 80 tahun.
"Anugerah ini meningkatkan iltizam saya untuk mencari jalan membangunkan sistem pendidikan yang memberi manfaat kepada rakyat khususnya golongan bumiputera," katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah, Adibah Amin dilahirkan pada 19 Februari 1936 di Johor Bharu, Johor.
Beliau yang merupakan bekas guru sekolah, pensyarah dan wartawan sangat sinonim dengan dunia penulisan.
Sehingga kini beliau telah menghasilkan banyak jenis buku sehingga ada yang diterjemahkan kepada pelbagai bahasa antaranya bahasa Jepun.
Beliau juga melakar nama dalam dunia hiburan apabila pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Adik Manja.
Terdahulu, upacara sambutan ulang tahun parti dimulakan dengan penyerahan bendera Sang Saka Bangsa oleh pasukan bermotosikal berkuasa tinggi yang diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Najib.
Kemudian, acara diteruskan dengan menaikkan Sang Saka Bangsa oleh Najib sambil diiringi nyanyian lagu UMNO sebelum diikuti oleh ucapan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ucaptama Najib.
Kemuncak upacara perasmian sambutan ulang tahun berkenaan diisi dengan amalan tradisi parti iaitu memotong pulut kuning oleh Najib sebelum diakhiri dengan persembahan bunga api.
/HWA: utusan.com.my | 12/5/12

Tiada ulasan: