Najib Tun Razak beramah mesra dengan
pengikut Twitter beliau ke-500,000, Anwaruddin Izzuddin serta tiga lagi
yang bertuah Lim Weng Marc, Shashi Muniandy dan Mohd. Azhar Hashim
ketika meluangkan masa bersarapan pagi di Restoran Chawan, Bangsar,
Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
*****
KUALA LUMPUR 12 Mei - Anwaruddin Izzuddin, 15, pengikut ke-500,000
Twitter Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga lagi pengikut bertuah, hari
ini mendapat peluang yang mungkin menjelma hanya sekali dalam hidup
mereka untuk bersarapan dengan Perdana Menteri.
Tiga pengikut lain ialah Lim Weng Marc, Shashi Muniandy dan Mohd.
Azhar Hashim. Mereka masing-masing membawa seorang tetamu untuk
menikmati sarapan bersama Najib di Chawan Restaurant di Bangsar di sini.
Perdana menteri menghabiskan masa kira-kira sejam bersama tetamu
beliau sambil menikmati hidangan nasi lemak, telur rebus dan teh tarik.
Beliau berbual dengan mereka tentang pelbagai perkara, daripada
politik hinggalah kepada pilihan raya dan kehidupan seharian serta
menandatangani autograf.
Pada pertemuan dengan pemberita kemudian, Anwaruddin berkata, dia
sungguh gembira apabila mendapat tahu menjadi pengikut ke-500,000
Twitter Najib.
"Tapi, apabila mendapat panggilan daripada 1Malaysia.com seminggu
lepas tentang berita itu dan untuk menghadiri majlis ini, saya sangka ia
hanya suatu gurauan. Saya macam tak percaya mendapat peluang untuk
duduk bersarapan bersama Perdana Menteri," katanya.
Anwaruddin berkata, dia menjadi pengikut @NajibRazak selepas mendapat
tahu daripada abangnya bahawa Perdana Menteri mengadakan peraduan untuk
berjumpa dengan pengikut Twitternya yang ke-500,000.
Pelajar SMK Sri Hartamas ini menyifatkan Perdana Menteri sebagai
'seorang yang bersahaja dan tenang' berbanding kebanyakan mereka yang
seusia dengan beliau.
"Kami juga bercakap tentang Manchester United. Perdana Menteri
memberitahu kami yang beliau sungguh teringin untuk ke Old Trafford bagi
menonton perlawanan MU, tapi masih belum berpeluang berbuat demikian,"
katanya.
Lim Weng Marc, 24, pula berkata, peluang itu membolehkannya mengenali
Perdana Menteri secara lebih dekat dan mengetahui tentang tugas beliau.
"Beliau bercerita kepada kami tentang usahanya untuk menambah baik
negara ini dan kami dapat melihat bahawa beliau benar-benar bersemangat
serta ikhlas dengan tugas beliau.
Pemuda ini berkata, mereka juga bertanya tentang tarikh pilihan raya
umum, tetapi Perdana Menteri tidak memberi sebarang bayangan
mengenainya.
Weng Marc membawa ibunya, Juliana Oo, 60, yang menyifatkan peluang
bersarapan bersama Perdana Menteri itu sebagai hadiah paling besar
sempena Hari Ibu yang pernah diterimanya. Hari Ibu disambut esok. -
BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 13/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan