KUALA LUMPUR 6 Mei - DAP tidak akan sesekali
menyokong Pas untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan
Islam sebagai addin atau cara hidup walaupun pakatan pembangkang menang
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaei Ahmad berkata, agak sukar bagi
parti itu meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan agama Islam jika
tidak mendapat sokongan DAP ataupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).'
"Kalaupun Pas mahu pinda, dia kena ada majoriti dua pertiga. Tetapi
masalahnya Pas mahu bertanding di 60 kerusi sahaja, mana boleh dia dapat
majoriti sebanyak itu melainkan disokong DAP dan PKR. Persoalannya
adakah DAP hendak sokong?," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang baru-baru ini yang berkata, pakatan pembangkang akan meminda
Perlembagaan Persekutuan yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama
rasmi kepada Islam sebagai addin, iaitu yang merangkumi seluruh
kehidupan manusia sekiranya menang pada pilihan raya itu nanti.
Menurut Abdul Hadi, Perlembagaan Persekutuan sekarang dirangka oleh
orang bukan Islam yang mempunyai ideologi dan teori manusia yang tidak
adil kepada umat Islam.
Presiden Pas itu bagaimanapun hari ini menafikan beliau mengeluarkan kenyataan berhubung cadangan meminda Perlembagaan tersebut.
Nakhaei berkata, jikapun Pas berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan
seperti yang dirancang, ia hanya diibaratkan seperti 'tikus membaiki
labu'.
"Nampaknya, Abdul Hadi tidak faham peruntukan sedia ada sekarang ini
yang sudahpun merangkumi Islam sebagai cara hidup. Islam itu agama rasmi
negara dan ia sudah jadi cara hidup. Itu sudah cukup. Kalau dia hendak
ubah dengan memasukkan Islam sebagai addin sahaja, itu tidak membawa
makna apa-apa," katanya.
Beliau berkata, kenyataan Abdul Hadi itu juga hanyalah sebagai gimik politik Pas semata-mata bagi menarik perhatian orang ramai.
Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang di Universiti Utara Malaysia
(UUM), Dr. Rusniah Ahmad berkata, Pas tidak boleh menganggap semua ahli
Parlimen termasuk daripada pakatan pembangkang akan bersetuju dengan
cadangan pindaan itu.
Katanya, pindaan tersebut juga akan memberi impak besar kepada keseluruhan rakyat Malaysia yang bukan semuanya beragama Islam.
"Perlembagaan memayungi undang-undang, jadi pindaan seperti itu akan
memberi implikasi besar kepada keseluruhan rakyat Malaysia. DAP juga
kemungkinan besar tidak akan setuju," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 7/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan