GURUN 19 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan sebarang program
yang melibatkan seorang pendukung gay, biseksual dan transeksual (LGBT),
Irshad Manji diadakan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata pihaknya memandang serius terhadap perkara itu dan meminta semua
jabatan agama di setiap negeri menghalang sebarang program melibatkan
wanita itu daripada berlangsung.
Beliau berkata Manji, 48, akan datang ke negara ini bagi tujuan
melancarkan buku terbarunya bertajuk "Islam, Liberty and Love" yang
dipenuhi unsur penghinaan terhadap Islam serta perjuangannya dalam
mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian.
"Kerajaan amat memandang serius terhadap ideologi yang dibawa oleh
Irshad Manji dan implikasinya terhadap umat Islam di negara ini,"
katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Buat Elok Saja Tau
(Best) di sini malam tadi.
Katanya ideologi tersebut jelas bertentangan dengan kedudukan
Malaysia sebagai negara Islam berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan
Persekutuan (Islam sebagai Agama Persekutuan), Akta dan Enakmen Agama
Islam negeri-negeri, undang-undang sivil dan norma masyarakat.
Manji merupakan seorang muslim berfahaman liberalismie, pluralisme
dan feminisme dan dia merupakan pendukung LGBT di peringkat
antarabangsa.
Dia pernah mengarang sebuah buku yang menimbulkan kegelisahan dan
kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk "The Trouble With Islam
Today" yang mengandungi idealisme sama seperti penulis novel "The
Satanic Verses", Salman Rushdie. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 19/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan