LONDON 13 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan
diraikan oleh pewaris takhta Britain, Putera Charles di Istana St. James
Selasa ini, sempena penganugerahan Piagam Diraja ke atas Pusat
Pengajian Islam Oxford (OCIS) oleh Ratu England.
Charles ialah penaung OCIS, sementara Najib pula ialah ahli majlis tertinggi pusat itu.
Malaysia adalah antara negara, selain beberapa negara Arab yang
banyak menyumbang kepada pusat pengajian itu. Ia ditubuhkan pada 1985 di
Universiti Oxford bagi menggalakkan pengajian kesarjanaan Islam dan
dunia Islam. Ia ditadbir oleh sebuah Lembaga Amanah yang terdiri
daripada para sarjana, negarawan dari beberapa buah negara, selain wakil
universiti itu.
Malaysia turut aktif dalam pembinaan sebuah pusat baru OCIS serta
sebuah dewan yang akan dikenali sebagai Auditorium Malaysia. Auditorium
itu turut dihiasi dengan ukiran kayu Melayu.
Menurut, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Eire,
Datuk Seri Zakaria Sulong, Najib dan isteri, Datin Seri Rosman Mansor
berada di sini selama dua hari sempena lawatan kerjanya.
Najib yang terbabit secara langsung dalam OCIS pernah memberi ceramah mengenai Kefahaman Sederhana dan Antara-Tamadun.
‘‘Kita amat dihargai di atas penglibatan dalam pembangunan pusat baru
OCIS, kita juga mempunyai ahli akademik dan felo yang mengajar di pusat
itu. Banyak yang berjaya dilaksanakan hasil penglibatan dari Malaysia,"
kata Zakaria.
Beliau menambah, hubungan dua hala Britain dan Malaysia cukup mesra
terutamanya selepas terbentuknya kerajaan campuran pada 2010.
Najib sendiri telah mengadakan lawatan rasmi ke negara ini tahun
lalu, diikuti oleh lawatan balas Perdana Menteri Britain, David Cameron,
April lalu.
Sempena dengan sambutan Jubli Intan pemerintahan Ratu Elizabeth tahun
ini, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri
Agong akan menghadiri sambutan itu tidak lama lagi atas jemputan Ratu.
‘‘Ini menunjukkan betapa rapatnya hubungan kedua-dua hala, dan ia sangat-sangat menggalakkan," kata Zakaria.
September ini, Duke of Cambridge, Putera William dan isterinya, Kate
Middleton akan melawat Malaysia bagi membuka Kolej Mulborough di Johor.
Sempena lawatan kerja Najib ke sini, menurut Zakaria, Perdana Menteri
juga akan melancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Sahabat Barisan
Nasional UK (FBNUK) di House of Lords pada hari pertama kunjungannya.
Ahli-ahli FBNUK terdiri daripada rakyat Malaysia di negara ini dan
juga di Malaysia yang akan menjadi sebuah pusat setempat bagi aktiviti
kemasyarakatan dan perniagaan.
Selain itu, satu lagi acara menarik Najib di sini adalah Sepetang
Bersama Perdana Menteri, yang akan menghimpunkan rakyat Malaysia di
United Kingdom untuk bertemu dan beramah mesra dengan Najib. Ia akan
diadakan di The O2 Arena di Greenwich, Timur London.
Perdana Menteri dan isteri akan berlepas dari UK ke Amerika Syarikat
untuk satu lagi lawatan kerja sebaik sahaja selesai majlis di Istana St.
James. - Utusan.
/HWA: utusan.com.my | 14/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan