16 Mei 2012

Nizar dimalukan ketika hadir ceramah UMNO

Mohammad Nizar Jamaluddin (kanan) duduk di meja penceramah ketika hadir secara mengejut pada majlis anjuran UMNO ketika Saarani Mohamad (kiri) menyampaikan ceramah di Tualang Sekah, Kampar, Perak, baru-baru ini. 
*****
IPOH 15 Mei - Tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang hadir secara mengejut pada satu majlis ceramah anjuran UMNO di Tualang Sekah, Kampar, kelmarin memakan diri sendiri apabila dimalukan oleh penceramah dan 'diboo' oleh hadirin pada majlis itu.
Insiden berlaku ketika majlis ceramah bertajuk Nizar Pembohong Bersiri sedang dijalankan sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu tiba-tiba muncul bersama beberapa penyokong dan duduk di meja utama.
Kehadiran Mohammad Nizar menyebabkan suasana majlis ceramah itu menjadi riuh-rendah dengan ada hadirin yang menjerit perkataan seperti hoi, baliklah, pembohong dan penipu.
Video insiden itu dimuat naik di dalam Youtube tidak lama selepas Mohammad Nizar menulis dalam Twitternya mendakwa kehadirannya ke majlis ceramah itu kononnya menyebabkan para penceramah panik dan pucat.
Bagaimanapun, video berkenaan yang turut disiarkan di dalam beberapa blog menunjukkan keadaan sebaliknya apabila penceramah mengambil kesempatan kehadiran Mohammad Nizar untuk mendedahkan segala pembohongan yang dikaitkan dengan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu.
Antara blog yang menyiarkan video tersebut termasuklah pisau.net, badutrakyat.blogspot.com, 1Taipingmali.com dan khairulryezal.blogspot.com.
Dalam video itu, penceramah yang juga bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hanafiah Man mendedahkan pembohongan Mohammad Nizar termasuk dakwaan kononnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir melakukan perbuatan khurafat dalam satu majlis pada 2011.
Turut hadir untuk memberi ceramah ialah ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan negeri.
Mohammad Nizar kelihatan terkedu apabila penganjur memainkan video ceramahnya yang bersumpah dan menuduh Zambry enggan menjawab dakwaan syirik sebelum satu lagi video menunjukkan Menteri Besar menjawab tuduhan tersebut secara panjang lebar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sekali lagi Mohammad Nizar yang hanya melemparkan senyuman tiba-tiba terdiam apabila penceramah membangkitkan kenyataan beliau dalam satu ceramah kononnya tiga daripada empat ahli Jawatankuasa Fatwa Perak memutuskan Zambry melakukan perbuatan syirik.
Hanafiah dalam video itu dipetik berkata: "Tapi selepas disiasat, jawatankuasa fatwa yang bermesyuarat pada Januari 2011 memutuskan apa yang dilakukan oleh Zambry bukan khurafat. Dia (Mohammad Nizar) boleh fitnah jawatankuasa fatwa, ini saya berani cakap depan-depan."
Video itu kemudiannya menunjukkan Mohammad Nizar bersalam dengan penceramah sebelum meninggalkan majlis sambil 'diboo' oleh hadirin, selain ada yang bersorak dan menjerit hey nak ke mana, tak habis lagi dan baliklah... baliklah.
Sebuah portal berita propembangkang memetik Mohammad Nizar sebagai berkata, beliau dalam perjalanan menuju ke tempat ceramah pakatan pembangkang tidak jauh dari situ sebelum singgah kerana diberitahu ceramah anjuran UMNO itu khusus mengenai dirinya.
Sementara itu, Saarani ketika dihubungi menjelaskan, pihaknya sengaja menganjurkan majlis itu berhampiran ceramah pembangkang yang dihadiri Mohammad Nizar bagi menjelaskan segala pembohongan yang dilakukan pemimpin Pas itu.
"Dia (Mohammad Nizar) datang dan bisik kata nak dengar (ceramah), saya kata kalau tahan telinga, dengarlah sebab kita tiada masalah pun. Mulanya kita bimbang kerana hadirin nampak agresif, tetapi kita minta bertenang dan teruskan macam biasa.
"Ketika berada di situ, kita tayangkan semula video-video ceramah yang dia berbohong dan kita buktikan fakta-fakta termasuk dengan video untuk menjelaskan kepada rakyat. Mungkin dia tidak tahan, lalu angkat kaki tinggalkan majlis," katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Mohammad Nizar dalam Twitter kononnya penceramah menjadi pucat ketika beliau tiba, Saarani berkata, ia adalah satu lagi pembohongan besar oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu.
"Apa yang dia tweet itu adalah apa yang dia harap berlaku. Dia nak tunjuk dia hebat tetapi realitinya tidak. Kita tidak terkesan pun, malah kita dedahkan satu persatu pembohongannya secara berdepan. Akhir sekali dia tinggalkan majlis walaupun pendedahan kita belum habis lagi," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 16/5/12

Tiada ulasan: