KUALA LUMPUR 14 Mei - Sikap berdiam diri golongan parasit di dalam
Pas berhubung komitmen barisan kepimpinan parti itu khususnya Dewan
Ulama untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ditentang oleh sekutu
mereka, DAP, hanya menunjukkan mereka lebih rela kepimpinan ulama
diaibkan.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, kumpulan
parasit di dalam Pas pada masa ini lebih selesa menyentuh isu hak
asasi, pilihan raya bersih, mengambil pendekatan yang begitu liberal
terhadap isu murtad serta keghairahan menuju ke Putrajaya.
‘‘Amat malang bagi sebuah parti Islam yang mempunyai barisan
kepimpinan yang semakin liberal dan tidak menunjukkan sokongan padu
serta kesungguhan yang jitu untuk melaksanakan hudud dan syariat Islam.
‘‘Malah sanggup pula melihat pimpinan ulama mereka diaibkan,’’ katanya melalui status Facebook terbaru beliau hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib
yang mula membayangkan kemungkinan parti itu tidak lagi akan meneruskan
kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), apabila tiba
masanya kelak.
Harun berkata, walaupun mengakui Pas tidak menghadapi masalah untuk
bekerjasama dengan kedua-dua parti itu, beliau tidak menafikan dasar
perjuangan Pas sering mengundang bantahan daripada Pengerusi DAP, Karpal
Singh.
Hasan berkata, sehingga kini belum ada riak-riak sokongan terhadap
kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang komited untuk
melaksanakan hudud namun ditentang hebat oleh Karpal.
‘‘Ketua Dewan Ulama seperti biasa telah membuka laluan dan memberi
jalan kepada pimpinan Pas pelbagai peringkat untuk menyuarakan pandangan
dan seterusnya merangkakan tindakan yang patut diambil bagi menebus
maruah Presiden, ahli dan penyokong parti,’’ katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini kelantangan suara-suara parasit hanya berkisar kepada usaha untuk menawan Putrajaya.
‘‘Saya masih menunggu komen daripada parasit-parasit dalam barisan
kepimpinan Pas tetapi kebiasaannya mereka hanya lantang menyuarakan
pandangan dan pendapat terutama isu yang melibatkan rancangan besar
seperti untuk ke Putrajaya,’’ katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, agenda untuk melaksanakan hukum hudud
merupakan perjuangan asal Pas dan ia telah diputuskan sejak parti itu
ditubuhkan.
‘‘Ketua Dewan Ulama Pas telah merentangkan jalan untuk mendapatkan
sokongan jitu daripada semua pemimpin dan ahli Pas. Bagi saya Harun
telah membuat kenyataan yang paling jelas dan tegas. Hudud akan terus
dilaksanakan melalui proses pindaan Perlembagaan.
‘‘Sekiranya rakan kongsi dalam pakatan tidak dapat menerima hudud,
beliau dengan tegas tanpa bersembunyi menggambarkan kesediaan Pas
memilih rakan kongsi lain yang dapat membantu melaksanakan hudud,’’
katanya.
/HWA: utusan.com.my | 15/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan